Sorting by

×

Mayat reput ditemui dalam rumah pusaka

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

TANJUNG BIDARA 7 Mei – Mayat seorang lelaki warga emas yang hampir mereput ditemui di sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Hj Marip, Kampung Londang, di sini, petang kelmarin.

Mangsa berusia 63 tahun, ditemui penduduk kampung berkenaan kira-kira jam 6.30 petang, pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, hasil pemeriksaan menemui mayat berkenaan terbaring di atas lantai dengan keadaan rumah yang berselerakkan dan seperti sudah tidak didiami.

Menurutnya, siasatan awal mendapati rumah berkenaan merupakan rumah pusaka mangsa yang mana mangsa dikatakan telah tinggal seorang diri di rumah berkenaan sejak Februari lalu.

“Sebelum ini, mangsa tinggal bersama anaknya di Seremban sebelum menetap seorang diri di rumah berkenaan sejak Februari lalu dan tidak pernah diziarahi sesiapa.

“Ketika ditemui, tiada sebarang pengenalan ditemui pada mayat, namun identiti mangsa telah disahkan isterinya hasil pengecaman,” katanya.

MAYAT mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka.

Beliau berkata, hasil bedah siasat mendapati mangsa telah meninggal dunia lebih kurang dua hingga empat minggu.

“Keadaan mayat yang telah mereput menyebabkan punca kematian masih tidak dapat dipastikan.

“Beberapa spesimen mangsa akan dirujuk ke jabatan kimia untuk dianalisa,” ujarnya.

Beliau bagaimanapun menolak sebarang unsur jenayah susulan pemeriksaan fizikal tidak menemui sebarang kecederaan dan tiada senjata tajam ditemui.

“Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut sementara menunggu hasil ujian kimia,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1595
Kongsi :
Previous post Pemandu bas ekspres ‘kantoi’ positif dadah
Next post Dua beradik ditahan bantu siasatan kes samun penyampai berita
Ubah saiz-+=