Mayat nelayan kita ditemukan di Pulau Rupat?

Masa Membaca:2 Minit, 34 Saat

AYER KEROH 20 Jan – Satu mayat lelaki lengkap berpakaian ditemukan pihak berkuasa Indonesia di Pulau Rupat, Indonesia kira-kira jam 11.30 pagi tadi.

Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, pihaknya bagaimanapun belum dapat memastikan sama ada ia adalah mayat seorang nelayan Malaysia yang dikhuatiri hilang selepas keluar menjaring di perairan Selat Melaka, berhampiran Pulau Undan sejak 13 Januari lalu.

“Polis Indonesia memaklumkan mayat terbabit ditemui lengkap berpakaian dan dipercayai sudah meninggal dunia dalam tempoh empat hingga lima hari lalu berdasarkan keadaan mayat yang sudah reput.

“Kita perlu bekerjasama dengan polis Indonesia dan siasatan akan dikendalikan di negara itu kerana mayat ditemui di negara berkenaan,” katanya.

TANGKAP layar daripada video yang tular di media sosial mengenai penemuan mayat lelaki berbaju merah dan berseluar jeans (dalam bulatan) dipercayai di Pantai Teluk Lecah, Pulau Rupat, Indonesia hari ini. / FOTO Media sosial.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Kit Makanan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Seri Ab Rauf Yusoh kepada petugas barisan di Plaza Tol Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Tambahnya, siasatan dijangka mengambil masa kira-kira seminggu sebelum dapat disahkan adakah mayat yang ditemui itu mempunyai kaitan dengan kehilangan nelayan di Melaka.

Mengulas lanjut, Abdul Majid berkata, sekiranya siasatan itu membuktikan mayat berkenaan mempunyai kaitan dengan kehilangan nelayan di negeri ini, pihaknya akan membuat permohonan bagi membawa pulang mayat berkenaan.

“Sekiranya ada keperluan untuk membawa ahli keluarga bagi tujuan pengesahan, ia bergantung kepada keperluan di pihak siasatan Indonesia,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, pihak polis turut masih belum dapat mengesahkan mengenai penemuan lesen memandu atas nama ‘Ahmad Norizan Mohamad’ yang turut ditemui bersama mayat berkenaan.

Jelasnya, siasatan menyeluruh dan maklumat lanjut akan dijalankan bagi menyelesaikan perkara itu.

Terdahulu hari ini tular di media sosial mengenai penemuan mayat lelaki berkenaan menerusi rakaman video berdurasi 20 saat memaparkan sekumpulan orang awam menemui mayat lelaki lengkap berpakaian berwarna merah dan seluar jeans terbaring di tepi pantai yang dikelilingi pokok bakau.

Turut tular adalah sekeping gambar daripada status Whatsapp yang menunjukkan gambar mayat berkenaan yang tertera perkataan ‘di Pantai Teluk Lecah’.

Semalam, polis menghentikan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua nelayan dari Jeti Nelayan Padang Temu, dekat sini yang dikhuatiri lemas selepas keluar menjaring ikan di perairan Selat Melaka sekitar Pulau Undan sejak 13 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad dipetik berkata, operasi SAR yang memasuki hari ketiga semalam sejak Ahad lalu terpaksa dihentikan kerana pasukan mencari tidak menemui petunjuk baharu kes berkenaan yang dilaporkan kepada polis petang Sabtu lalu.

Ahad lalu media melaporkan dua nelayan berkenaan, Ahmad Norizan Mohamad, 37, dan rakannya Irwan Radjab, 47, dilaporkan hilang selepas empat hari keluar menangkap ikan sekitar Pulau Undan.

Kehilangan Ahmad Norizan disedari isterinya pada Sabtu lalu setelah dia tidak pulang sejak 13 Januari selepas keluar bersama rakannya itu.

Susulan laporan polis yang dibuat ahli keluarga mangsa di Balai Polis Kandang jam 6 petang Sabtu lalu, pihak berkuasa memulakan operasi SAR pada Ahad sehingga petang tadi keseluruhannya membabitkan kira-kira 60 pegawai dan anggota agensi berkaitan termasuk nelayan.

Views:

1102
Kongsi :
Previous post Kematian Dr Ali bukan akibat kelesuan bekerja atau COVID-19
Next post Pelajar jatuh dari tingkat 3 bangunan sekolah di Petra Jaya
Ubah saiz-+=