Mayat membusuk tergantung di kipas siling
ALOR GAJAH 26 Mei – Seorang lelaki ditemui mati dalam keadaan terjerut di leher dengan kabel elektrik pada kipas, dipercayai membunuh diri, di ruang tamu rumahnya, pagi tadi.
Lelaki berusia 45 tahun dan tinggal sendirian itu dilaporkan kali terakhir dilihat oleh bapa saudaranya yang tinggal bersebelahan pada Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, terdahulu pihaknya menerima laporan daripada bapa saudara mangsa pada jam 10.04 pagi di Balai Polis Alor Gajah yang mengadu terhidu bau busuk dari rumah mangsa.
Beliau berkata, bertindak atas laporan itu pihaknya melakukan siasatan di tempat kejadian.
“Siasatan awal di tempat kejadian dilakukan dengan dihadiri pihak Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, pihak Bomba Alor Gajah dan pihak Kementerian Kesihatan (KKM).
“Didapati pintu terkunci dari dalam dan polis terpaksa meminta bantuan bomba untuk membuka pintu sebelum menemukan mayat mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini.
Arshad berkata, lelaki yang masih bujang itu tinggal seorang diri selepas ibu bapanya meninggal dunia dan berdasarkan keadaan fizikal mayat, mangsa dipercayai mati lebih dua hari.
“Kita masih menyiasat punca sebenar mangsa bertindak menggantung dirinya.
“Siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasi dibawah mati mengejut,” katanya.
Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah untuk dibedah siasat esok.
Sementara itu, Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penguasa Bomba Zulkhairani Ramli berkata, pihaknya menghantar pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) & CBRNe serta Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) ke lokasi apabila menerima panggilan daripada polis jam 12.21 tengah hari.
“Setibanya di lokasi pasukan bomba bertindak memecahkan pintu rumah dan menemui seorang lelaki tergantung di kipas serta disahkan telah meninggal dunia.
“Anggota Hazmat dan EMRS memotong tali kabel, menurunkan mangsa dan memasukkannya ke dalam Cadaver Bag serta disinfeksi sebelum diserahkan kepada polis,” katanya sambil menambah kerja-kerja sanitasi di kawasan rumah mangsa turut dibuat atas permintaan KKM.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.