Mayat kru kapal layar terjatuh dari bot di Langkawi ditemukan
ALOR SETAR, 13 Mei – Mayat lelaki yang juga kru sebuah kapal layar yang dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh dari sebuah bot di perairan Kuah, Langkawi, Rabu lepas, ditemukan pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Langkawi ACP Shariman Ashari berkata mayat Ahmad Nur Hassanuddin Ibrahim, 23, dijumpai oleh orang awam dalam keadaan terapung pada 7.15 pagi.
“Polis menerima maklumat daripada orang awam terdapat satu mayat terapung antara Pulau Bumbun dan Pulau Tuba dengan jarak lebih kurang 1.5 batu nautika dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh ke dalam laut.
“Mayat mangsa kemudiannya telah dibawa balik ke Jeti Dato’ Syed Omar dengan menaiki bot Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM),” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata pegawai kesihatan telah mengesahkan kematian mangsa manakala ibu serta kakak mangsa juga telah mengesahkan identiti mangsa.
“Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Sultanah Maliha, Langkawi untuk proses bedah siasat dan operasi pencarian ditamatkan sepenuhnya pukul 9 pagi,” katanya.
Pada Rabu, Ahmad Nur Hassanuddin yang bekerja sebagai kru Sunset Dinner Cruise dipercayai cuba mengejar kapal layar berkenaan dengan menggunakan bot kecil selepas terlewat hadir bertugas sebelum terjatuh dari bot berkenaan.- BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.