Maxus T60 antara lima cabutan utama TMM2024

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

AYER KEROH 20 Disember – Kenderaan pacuan empat roda, kenderaan utiliti sukan (SUV), motosikal elektrik, dan bot antara hadiah menarik yang menanti penginap hotel bertuah yang bermalam di negeri ini sepanjang 12 bulan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024)

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, program cabutan bertuah Bercuti dan Menang sempena TMM2024 membuka peluang kepada pelancong yang menginap sekurang-kurangnya dua malam memenangi hadiah tersebut.

Selain itu katanya, antara syarat untuk layak mengikuti cabutan bertuah adalah beberlanja sekurang-kurangnya RM500 bagi kos penginapan dan kupon tiket tarikan pelancongan dalam satu resit.

“Bagi mereka yang mahu menyertai cabutan bertuah ini kita akan menyenaraikan hotel-hotel yang bekerjasama dengan Kerajaan Negeri untuk mempromosikan TMM2024.

“Setakat ini sebanyak 10 hotel yang akan bekerjasama dan syaratnya setiap pengunjung mesti berbelanja RM500 selama tiga hari dua malam bagi melayakkan mereka mendapatkan kupon cabutan bertuah daripada hotel tempat mereka menginap.

“Dalam skim diperkenalkan ini menjadi penggalak kepada pelancongan dalam situasi menang-menang antara Kerajaan Negeri dan penggiat industri pelancongan untuk meraih pulangan yang baik hasil daripada dasar dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Kempen Cabutan Bertuah dan Kupon Diskaun Sempena TMM2024 dan Pelancaran Pelan Induk Pelancongan Melaka 20235 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Negeri, Datuk Rais Yasin serta Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.

Turut hadir Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Penangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer, barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Pada majlis sama Ketua Menteri turut menyempurnakan gimik penyerahan plak kenderaan daripada barisan penaja.

Sebanyak lima kenderaan ditawarkan antaranya, Maxus T60 bernilai RM115,888; dua buah Proton X70 1.5L Tgdi bernilai RM98,800; sebuah Proton X50 1.5T bernilai RM85,980; sebuah Perodua Aruz 1.5 bernilai RM73,055; tiga buah motosikal elektrik Blueshark R1 bernilai RM9,390 dan sebuah; bot GT Top Std Model bernilai RM3,000.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1912
Kongsi :
Previous post Ketua Menteri umum Pelan Induk Pelancongan Melaka 2035
Next post TMM2024 cerminan Melaka destinasi percutian pilihan
Ubah saiz-+=