MATTA Melaka terokai produk eko-pelancongan luar bandar
JASIN 7 Dis. – Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Melaka akan mempromosikan produk pelancongan luar bandar bagi merancakkan industri pelancongan yang terkesan semasa pandemik COVID-19.
Pengerusinya Goh Hock Gin berkata, Melaka mempunyai banyak destinasi pelancongan menarik di luar bandar yang belum diterokai pelancong dari dalam dan luar negara.
“Kebanyakan pelancong tertumpu di kawasan Bandar Melaka yang menempatkan pelbagai pelancongan bersejarah.
“Sedangkan di kawasan luar bandar turut menyediakan suasana menarik untuk dirasai sendiri termasuk destinasi eko-pelancongan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Jom Terokai Jasin bersama MATTA di sekitar kawasan pelancongan Jasin, hari ini.
Jelasnya, antara lokasi pelancongan menarik termasuklah Laman Tiga Budaya di sempadan Melaka, Johor dan Negeri Sembilan, Hutan Rekreasi Bukit Batu Lebah, Nyalas, Jasin dan lain-lain.
“Kita mahu uruskan satu pakej baru iaitu pakej ‘eco tourism’ produk untuk Melaka sebab kebelakangan ini banyak pendedahan mengenai sejarah saja.
“Jadi, kita akan perkenal pakej baharu kepada pelancong bagi produk eko-pelancongan,” katanya.
Tambahnya, pihaknya akan mewujudkan pakej-pakej pelancongan baharu dengan kerjasama agensi pelancongan membabitkan eko-pelancongan di negeri ini.