MATTA Fair Melaka sasar nilai jualan RM15 juta
BANDA HILIR 9 Ogos – MATTA Fair Melaka 2024 yang membabitkan seramai 35 pempamer menawarkan pelbagai pakej pelancongan disasarkan mencapai nilai jualan sehingga RM15 juta.
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, antara yang mengambil bahagian pada pameran itu adalah ejen kembara pelancongan, pengusaha produk pelancongan, pengusaha produk makanan, bank dan hotel.
Kata Ketua Menteri, penganjuran pameran sedemikian adalah peluang terbaik buat penggiat industri pelancongan menghebahkan maklumat berkaitan pakej percutian berdasarkan kemampuan dan kehendak pelanggan.
“Secara tidak langsung usaha berterusan ini dapat membantu merancakkan ekonomi tempatan dan meningkatkan taraf hidup masyarakat.
“Terdapat 60 reruai produk pelancongan pada pameran kali ini dan kita mengajak orang ramai khususnya penduduk Melaka untuk Melancong ke luar Melaka pula,” katanya ketika berucap merasmikan MATTA Fair Melaka 2024 bermula hari ini sehingga 11 Ogos di sebuah pusat beli-belah di sini.
Hadir sama Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman bersama timbalannya, Datuk Zaidi Attan; Timbalan Presiden Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Sheikh Awadh Sheikh Abdullah dan Pengerusi MATTA Melaka, Goh Hock Gin.
Menurut Ab Rauf, Melaka telah mencatatkan sektor perkhidmatan yang merangkumi industri pelancongan sebagai penyumbang
tertinggi ekonomi negeri sebanyak RM23 bilion bersamaan 50.5 peratus.
“Alhamdulillah, sehingga Julai lalu Kerajaan Negeri telah menerima seramai 8.7 juta pelancong yang mana merekodkan pelancongan
domestik seramai 6.6 juta, disusuli pelancong asing seramai 2.1 juta sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
“Saya percaya sasaran seramai 18.7 juta pelancong akan dapat kita capai tahun ini, terima kasih pada Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka yang tidak henti mempromosi sektor pelancongan negeri ke seantero dunia,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.