Sorting by

×

MATTA Fair Melaka, rancakkan TMM2024

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

AYER KEROH 23 Julai – Penganjuran MATTA Fair Melaka 2024 di pusat beli-belah, Mahkota Parade dari 9 hingga 11 Ogos depan dijangka mampu menarik seramai 20,000 pengunjung.

Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Zaidi Attan berkata, nilai jualan pakej pelancongan sepanjang tiga hari MATTA Fair Melaka 2024 berlangsung disasarkan bernilai RM15 juta.

Katanya, program itu bakal disertai lebih 30 pempamer tempatan dan luar Melaka, sekali gus dapat membantu mempromosi Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

“Pada MATTA Fair Melaka 2024 ini, sebanyak 60 gerai pameran disediakan untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan pelancongan dengan tawaran potongan harga pakej-pakej percutian yang menarik.

“Program ini memainkan peranan penting dalam mempromosikan 14 sub sektor pelancongan negeri yang meliputi Sejarah; Budaya; Rekreasi; Sukan; Membeli-Belah; Konvensyen; Kesihatan; Pendidikan; Agro; Makan-Makan; Melaka Rumah Ke-2; Belia; Eko-Pelancongan dan Keagamaan.

“MATTA Fair Melaka 2024 ini merupakan acara tahunan bagi mempromosikan negeri sebagai sebuah destinasi pelancongan yang terunggul di Rantau Asia,” katanya pada sidang media MATTA (Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia) Fair Melaka di Kota Cemerlang. hari ini.

Hadir sama, Pengerusi MATTA Melaka, Goh Hock Gin.

Mengulas lanjut, Zaidi berkata program terbabit akan dirasmikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada jam 11 pagi 9 Ogos nanti.

Tambahnya, beliau berharap penganjuran program terbabit akan dapat menarik lebih ramai pelancong selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri yang menyasarkan 18 juta pelancong pada tahun ini.

“Diharapkan masyarakat Malaysia akan mengambil kesempatan dan peluang ini untuk membeli pakej murah dan berbaloi sempena cuti-cuti perayaan sebagai langkah menerap budaya cuti dalam negara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1440
Kongsi :
Previous post Berhati-hati individu mengaku wartawan MHI
Next post Pemutihan papan iklan haram di Melaka sedang dijalankan
Ubah saiz-+=