MATRADE yakin Melaka miliki potensi besar

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

AYER KEROH 2 Julai – Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menyuarakan keyakinan tinggi bahawa Negeri Melaka mempunyai potensi besar yang dapat memacu pertumbuhan aktiviti perdagangan dan perusahaan eksport pada masa akan datang.

Pengerusi MATRADE Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, oleh sebab itu, Melaka dipilih sebagai negeri pertama penganjuran Hari Eksport 2024 yang diadakan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) pada 2 dan 3 Julai.

Menurutnya, antara faktor utama Melaka dijangka mampu berkembang adalah disebabkan kestabilan politik yang wajar menjadi contoh di negara ini, di mana, segala sistem penyampaian dapat berlaku pantas selain pihak berkuasa tempatan (PBT) juga mempunyai pengarahan lebih jelas yang menjadikan negeri ini kesukaan para pelabur.

“Ini dapat dilihat apabila Melaka dapat menarik nilai pelaburan RM6 bilion, pada tahun lalu yang mana ia melebihi daripada sasaran yang ditetapkan.

“Walaupun ada negeri lain mempunyai nilai pelaburan lebih tinggi, namun Melaka membuktikan negeri kecil ini tidak kurang hebatnya dengan memberi tumpuan kepada pelaburan langsung asing yang bernilai tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Hari Eksport Melaka 2024 yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di MITC, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri Datuk Salhah Salleh; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri Datuk Khaidhirah Abu Zahar; Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz; Ketua Pegawai Eksekutif Invest Melaka Berhad Datuk Ginie Lim Siew Lin; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Akselarasi Eksport) MATRADE Abu Bakar Yusof; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan Pengeksport) MATRADE Mansor Shah Wahid dan lain-lain kenamaan.

Menurut Reezal Merican, seramai 73 peserta daripada 45 syarikat perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Negeri Melaka telah menyertai Hari Eksport Melaka 2024 yang membincangkan pelbagai topik termasuk kesediaan mengeksport, peluang eksport di pasaran antarabangsa, eksport secara digital, kemudahan pembiayaan dan insurans eksport, risikan pasaran serta penglibatan dalam promosi eksport secara efektif.

Katanya, selepas Melaka, Hari Eksport 2024 akan menjelajah ke lima lagi negeri iaitu Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Sarawak, Perak dan Selangor.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

165
Kongsi :
Previous post Melaka sasar 400 syarikat terajui perusahaan eksport
Next post Malaysia sasar nilai eksport RM1.6 trilion tahun ini – MATRADE
Ubah saiz-+=