Masyarakat Tionghua gembira terima sumbangan raya
DUYONG 17 Januari – Jelas terpancar kegembiraan pada wajah 190 masyarakat Tionghua apabila menerima sumbangan sempena menyambut perayaan Tahun Baharu Cina, hari ini.
Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri Datuk Kalsom Noordin berkata, sumbangan melalui Tabung Amanah Kebajikan Negeri Melaka itu adalah antara usaha Kerajaan Negeri untuk membantu golongan yang memerlukan.
“Dengan adanya bantuan sebegini ia bukan sahaja dapat membantu tetapi mengurangkan beban seluruh lapisan masyarakat.
“Malah dengan sumbangan diterima juga ia sedikit sebanyak dapat membantu penerima membuat persiapan menjelang tibanya hari perayaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Sumbangan Perayaan Tahun Baharu Cina 2023 di Kompleks Japerun Duyong, hari ini.
Hadir sama, Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong, Mohd Noor Helmy Abdul Halem; Adun Telok Mas, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman dan Adun Kota Laksamana Low Chee Leong.
Kalsom berkata, diharap sambutan Tahun Baharu Cina ini dapat menjadi asas untuk mengukuhkan iltizam dan perpaduan selain dapat mempertahankan semangat murni serta kerjasama antara kaum.
“Saya yakin dengan semangat ini ia akan menjadi tunggak kekuatan kita dalam mencorakkan kesejahteraan.
“Malah saya juga berharap tahun arnab ini juga akan membawa tuah, kejayaan, pencapaian yang lebih baik dan kegembiraan kepada kita di Melaka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.