Masyarakat perlu amalkan kawalan kendiri
MUAR 8 Ogos – Kawalan kendiri masyarakat dalam memerangani pandemik COVID-19 adalah penting, kerana kerajaan tidak selamanya akan menggunakan undang-undang dalam menanganinya, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Perkara ini katanya, telah beliau tekankan pada setiap sidang medianya, iaitu anggota masyarakat sendirilah yang akhirnya akan menjaga kepentingan diri, keluarga dan masyarakat.
“Amalkan kawalan kendiri, maknanya satu hari nanti, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan ditamatkan, penguatkuasaan melalui undang-undang akan ditamatkan.
“Kita (kerajaan) tak boleh gunakan Akta 342 lagi satu hari nanti, tapi tidak tahu bila, jadi untuk itu perlu pengawalan, pengawasan diri kita, bukan barisan hadapan. Polis tidak akan berada, jaga, di sekitar kita untuk menjaga kita,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Kempen Pembudayaan Norma Baharu di Kompleks Sukan Pagoh, di sini, hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Kempen Pembudayaan Norma Baharu itu berkata, yang penting adalah kesedaran diri sendiri oleh anggota masyarakat, dalam memastikan kepatuhan mengikuti prosedur operasi standard (SOP).
Oleh itu, kempen berkenaan dilaksanakan supaya amalan mengikuti SOP itu sebagai amalan atau budaya baru tanpa disuruh sesiapa, tetapi diamalkan demi menjaga keselamatan kesihatan diri, keluarga dan masyarakat.
“Akhirnya kita sendiri yang menjadi barisan hadapan, bukanlah lagi polis, tentera,” tambah beliau lagi.
Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), kini diguna pakai semua negeri kecuali Sarawak, dalam menguatkuasakan undang-undang untuk menangani penularan wabak COVID-19.
Ketika ditanya mengenai sama ada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga 31 Ogos ini, akan dilanjutkan berikutan peningkatan kes COVID-19 baharu, beliau berkata kerajaan akan melihat kembali situasi semasa COVID-19 dan berbincang dengan Kementerian Kesihatan Malaysia sebelum tarikh itu.
“Kita tak tahu (sama ada meneruskan PKPP atau tidak lagi) tapi kita akan tengok dulu. Sebab tu saya kata tadi kita akan tengok mungkin dalam seminggu sebelum 31 Ogos itu, kita akan bersidang dan berbincang,” kata beliau.
Bila ditanya masih ada lagi yang ‘degil’ tidak mematuhi SOP, beliau berkata polis telah diberikan budi bicara sepenuhnya, untuk sama ada mengenakan kompaun atau menahan mereka yang ingkar.
“Setakat ini, saya rasa 31 atau 32 kertas siasatan telah dihantar oleh pihak polis kepada Peguam Negara untuk tindakan seterusnya, sama ada nak buat pertuduhan atau tidak, terpulang kepada Peguam Negara, kalau dituduh di mahkamah, beratlah hukuman,” kata beliau.
— BERNAMA