
Masyarakat lebih terbuka terima bekas penghuni penjara
LENDU 16 Mac – Seramai 30 bekas penghuni penjara Sungai Udang dan Sekolah Henry Gurney (SHG) bakal dibebaskan menyertai Program Gotong-Royong Outreach Kemasyarakatan bersama Jemaah Masjid Umar Al-Khattab Kampung Lendu, di sini, hari ini.
Pengarah Penjara Melaka, Timbalan Komisioner Penjara (TKP), Roslan Mohamed berkata, gotong-royong dianjurkan adalah program kedua bagi tahun ini selepas Masjid Tanah, Januari lalu.
Katanya, program yang diatur bertujuan untuk membiasakan bekas penghuni penjara bergaul dengan masyarakat sebelum dibebaskan sepenuhnya.
Roslan berkata kali ini peserta membabitkan 16 Orang Diparol (ODP), 13 Orang Bebas Berlesen (OBB) dan empat lagi adalah Penghuni Berlesen (PBL) dari SHG.
“Selain membersihkan persekitaran masjid, peserta turut bergotong-royong membersihkan tapak perkuburan di Lendu Hilir.
“Syukur, penerimaan jemaah masjid agak memberangsangkan, malahan kami menerima banyak jemputan daripada wakil syarikat swasta dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) untuk melaksanakan program kemasyarakatan secara bersama,” katanya ketika ditemui.
Beliau berharap peserta dan penduduk tempatan yang mengambil bahagian mempelajari sesuatu daripada program yang dianjurkan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.