
MASYARAKAT KUALA LINGGI DAPAT LIMPAHAN W.R.U.R
KUALA LINGGI 18 Januari – Masyarakat majmuk dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi mendapat pelbagai limpahan manfaat menerusi program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (W.R.U.R).
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi, Datuk Rosli Abdullah berkata pemilihan DUN Kuala Linggi sebagai lokasi edisi pertama program W.R.U.R, amat disyukuri penduduk setempat.
“Terima kasih diucapkan kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh kerana memilih DUN Kuala Linggi sebagai lokasi pertama W.R.U.R.
“Paling mustahak, pelbagai limpahan ekonomi serta kebajikan dinikmati menerusi program W.R.U.R, di mana masyarakat setempat boleh berinteraksi terus dengan Ketua Menteri serta barisan Exco Kerajaan Negeri.
“Saya percaya, jelajah W.R.U.R di setiap DUN negeri ini dapat menterjemahkan hasrat Kerajaan Negeri untuk lebih dekat dengan rakyat sekali gus memberi nilai tambah kepada pembangunan negeri amnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian W.R.U.R di Dewan Bakti Sekolah Kebangsaan (SK) Othman Shawal, di sini, hari ini.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco kanan Perumahan, Kerajaan tempatan, Saliran Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Negeri, Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan dan agensi.
Dalam ucapannya, Rosli turut menyatakan penghargaan kepada semua agensi serta jabatan kerajaan yang turut menggembeleng tenaga menjayakan W.R.U.R.
“Tidak lupa kepada semua agensi serta jabatan kerajaan yang terlibat kerana turut bersama-sama menjayakan program ini.
“Dengan pelaksanaan program dan aktiviti sempena W.R.U.R, ternyata memberikan kesan positif buat masyarakat DUN ini yang begitu teruja dengan segala penawaran disediakan oleh Kerajaan Negeri,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.