Sorting by

×

MASYARAKAT DI HATI MPAG

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

ALOR GAJAH 25 Disember – Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) membuktikan komitmen dalam membangunkan daerah Alor Gajah ke arah bandar lestari dan berdaya huni yang turut meliputi keprihatinan terhadap nasib masyarakat.

Menerusi program khidmat komuniti, Masyarakat Di Hati MPAG, sebanyak empat rumah membabitkan golongan kurang berkemampuan di kawasan pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu telah dibaik pulih.

Yang Dipertua MPAG TPr. Saifuddin Abdul Karim berkata, Masyarakat Di Hati MPAG merupakan sebahagian program yang telah disusun bersempena Sambutan Hari Perbandaran (SHP) Ke-21 MPAG.

Jelas beliau, menerusi program amal itu, pihaknya telah mengenal pasti rumah penerima kurang berkemampuan yang layak untuk dibaik pulih bagi memacu kehidupan lebih sejahtera untuk mereka pada masa akan datang.

“Antara yang mendapat manfaat menerusi program ini adalah dua buah rumah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara iaitu di Kampung Balik Batu dan Kampung Air Hitam Darat.

“Manakala dua lagi rumah membabitkan kawasan DUN Rembia iaitu di Batu 10 1/2 Rembia dan Suak Ayer Putih, Kampung Sungai Petai.

“Antara kerja baik pulih yang dilakukan adalah pembaikan asas peralatan elektrik, pembersihan sekitar kawasan rumah dan lain-lain lagi,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Baru-baru ini program Masyarakat Di Hati MPAG DUN Rembia telah disempurnakan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras DUN Rembia Datuk Fairul Nizam Roslan.

Pada majlis sama, turut diadakan penyampaian sumbangan kepada ahli kariah Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dalam DUN Rembia.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

88
Kongsi :
Previous post MELAKA MAHU PERKENAL LEBIH BANYAK TAPAK WARISAN BAHARU
Next post TIGA FOKUS UTAMA BAJET 2025 NEGERI MELAKA
Ubah saiz-+=