
MASUK ZOO MELAKA TEBUS KEHAMPAAN TAHUN LALU
AYER KEROH 21 Februari – “Akhirnya tahun ini kami anak beranak dapat masuk zoo secara percuma, dapat juga tebus kehampaan tahun lalu,” itu kata pengunjung Zoo Melaka Noor Rosmadiana Noorrudin.
Noor Rosmadiana, 35, dari Alor Gajah berkata, dia sentiasa menunggu pengumuman tawaran luar biasa itu kerana hasrat untuk bersantai di Zoo Melaka tahun lalu tidak kesampaian.
Katanya, meskipun terpaksa beratur panjang, itu bukan halangan untuk dia dan suami keluar membawa tiga anak mereka.
“Sebagai orang Melaka saya teruja dengan tawaran kemasukan percuma diberikan ini kerana ia begitu bermanfaat untuk rakyat.
“Kemasukan percuma ini juga dapat membantu penjimatan apabila keluarga besar misalnya dapat masuk ke lokasi pelancongan tanpa perlu mengeluarkan belanja.
“Tahun lepas saya tidak berpeluang masuk ke Zoo Melaka kerana terlalu ramai orang, justeru itu kali ini saya cuba sekali lagi dan alhamdulillah dapat membawa anak-anak masuk,” katanya ketika ditemui di Zoo Melaka, semalam.

Sementara itu, kesempatan kemasukan percuma ini turut direbut sekumpulan tujuh pelajar dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Katholik Melaka apabila turut meluangkan masa bersiar-siar di Zoo Melaka.
Menurut Yap Zhan Yi, 17, tertarik dengan tawaran kemasukan percuma itu dia dan rakan yang lain ingin turut serta bagi merasai kemeriahan suasana orang ramai di Zoo Melaka.
“Sebagai pelajar sudah pasti mahu bersiar-siar tanpa perlu mengeluarkan duit belanja. Kami dapat tahu mengenai kemasukan percuma ini menerusi media jadi sepakat untuk datang bersama-sama, rugi kalau kita tidak menyokong usaha sebegini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.