
MASUK PERCUMA TAHUN INI LEBIH SISTEMATIK, LANCAR
BANDARAYA MELAKA 20 Februari – Inisiatif kemasukan percuma ke 13 produk pelancongan Melaka sempena cuti umum Hari Pengisytiharan Kemerdekaan Tanah Melayu, hari ini, lebih sistematik dan lancar.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, situasi itu dilihat menerusi tinjauan yang dilakukan beliau di beberapa lokasi pelancongan.
Jelas beliau, kelancaran itu susulan penambahbaikan yang dilakukan setiap produk pelancongan pada edisi kedua insentif kemasukan percuma diperkenalkan.
“Kita dapati, pengunjung pada tahun ini majoritinya adalah rakyat Melaka memandangkan cuti umum pada hari ini adalah untuk Negeri Melaka sahaja.
“Inilah masanya untuk rakyat Melaka dapat menikmati sepenuhnya tempat-tempat pelancongan ini secara percuma dan menggunakan kesempatan untuk beriadah dan berlibur bersama keluarga tercinta menerusi ‘hadiah’ yang ditawarkan Kerajaan Negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau operasi kemasukan percuma di Melaka River Cruise, Jeti Taman Rempah, di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) Shaharul Azuar Idris; Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Melaka Nasrul Ahmad dan lain-lain kenamaan.
Menurut Ab Rauf, setakat 12 tengah hari tadi, lebih 3,500 pengunjung telah menikmati kemasukan percuma ke Melaka River Cruise di empat jeti yang disediakan.
Empat jeti itu adalah Jeti Taman Rempah, Jeti Dataran Pengkalan Rama, Jeti Quayside dan Jeti Melaka Sentral.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.