MASUK PERCUMA, MACAM-MACAM ADA DI FESTIVAL HALAL ANTARABANGSA MELAKA
BANDARAYA MELAKA 19 Disember – Orang ramai berpeluang mengunjungi Festival Halal Antarabangsa Melaka 2024 (MIHF’24) secara percuma bagi mendapatkan produk-produk halal yang dijual pada acara itu.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata festival itu sekali gus mempromosikan Melaka sebagai hab halal antarabangsa dan destinasi pelancongan halal utama dunia.
“Semua dijemput hadir ke festival kerana kemasukan adalah percuma pada 20 hingga 22 Disember ini, lokasinya adalah di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) dan waktu operasi bermula jam 10 pagi hingga 10 malam.
“Festival ini berperanan sebagai platform untuk memperkenalkan Melaka sempena sambutan Hari Pelancongan Sedunia 2025 (WTD 2025) dan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
“Acara ini juga akan menyumbang usaha mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam sektor industri halal dengan menampilkan inovasi, kepelbagaian produk, dan perkhidmatan halal kepada pasaran global,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas bersiaran di Segmen Apa Khabau YB? ‘Melaka International Halal Festival’ di konti MelakaFM di sini, hari ini.
Hadir sama Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Shaifulfazlee Mohamad.
Jelas Rahmad, setakat ini sebanyak 300 reruai pameran disediakan untuk pengunjung terdiri daripada produk halal, pocket talk, program jualan dan promosi produk halal, demonstrasi masakan serta lain-lain lagi.
“Tetapi jika usahawan Melaka ingin menyertai pameran untuk menjual menjual dan mempromosi produk mereka, kita masih benarkan lagi.
“Jemputlah datang, acara perasmian pada 21 Disember (Sabtu) pada jam 11.30 pagi oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.