MASUK PERCUMA 20 FEBRUARI DITUNGGU-TUNGGU RAKYAT MELAKA
AYER KEROH 14 Januari – Inisiatif Kerajaan Negeri yang akan meneruskan kemasukan percuma ke lokasi pelancongan di negeri ini pada 20 Februari dinanti dan disambut baik oleh rakyat Melaka.
Kemasukan percuma bersempena Hari Memperingati Tarikh Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu itu diumumkan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusof pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2025.
Nur Amira Amra, 35, berkata, keprihatinan Ketua Menteri meneruskan inisiatif itu disifatkan amat membantu golongan tidak berkemampuan untuk menikmati kepelbagaian produk pelancongan di negeri ini.
Katanya, inisiatif yang dimulakan buat pertama kalinya tahun lalu nyata mendapat sambutan menggalakkan apabila rakyat Melaka beramai-ramai keluar merebut peluang untuk masuk ke lokasi yang disenaraikan.
“Di bawah kepimpinan Ketua Menteri banyak perubahan yang dibawa dan yang pastinya memberi manfaat kepada rakyat seperti memberi kemasukan percuma ke lokasi pelancongan.
“Dengan ada kemasukan begini mereka yang kurang berkemampuan dapat membawa keluarga serta anak-anak berjalan dan bercuti di Negeri Melaka,” katanya.
Tambahnya, cetusan idea Kerajaan Negeri itu bukan sahaja membantu rakyat malah merancakkan lagi sektor pelancongan di Melaka.
“Dengan adanya tawaran seperti ini orang luar akan turut datang ke Melaka dan seterusnya memberi tempias kepada peniaga-peniaga kecil,” katanya.
Sementara itu, Runiza Mahmud, 40, berkata, selain dapat mempromosikan tempat pelancongan sedia ada, inisiatif kemasukan percuma juga dapat menyumbang kepada sektor ekonomi Negeri Melaka.
“Walaupun kemasukan diberi secara percuma namun mereka pastinya akan berbelanja dan ini secara tidak langsung membantu merancakkan ekonomi setempat.
“Saya yakin rakyat pastinya gembira dengan pengumuman dibuat oleh Ketua Menteri dan menanti-menanti produk pelancongan yang menawarkan kemasukan percuma pada tarikh tersebut,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.