Masjid tunai janji, anak-anak istiqamah solat Subuh berjemaah dapat basikal

Masa Membaca:2 Minit, 2 Saat

PENGKALAN BATU 20 Mac – Seramai 22 kanak-kanak yang hadir menunaikan solat Subuh berjemaah di Masjid As-Sa’adah, di sini, selama 40 hari berturut-turut, menerima hadiah basikal seperti yang dijanjikan, hari ini.

Pengerusi Masjid As-Sa’adah Datuk Amzah Osman berkata, program yang bermula sejak awal Feb lalu mendapat sambutan cukup menggalakkan apabila disertai seramai keseluruhan 45 peserta terdiri dalam kalangan anak kariah masjid.

Jelasnya, untuk fasa pertama katanya, sebanyak 22 buah basikal telah diberikan kepada pemenang, manakala baki 23 lagi akan diagihkan pada fasa kedua nanti memandangkan ada di antara peserta masih belum melengkapkan tempoh masa 40 hari ditetapkan berikutan ada yang terpaksa menjalani perintah kuarantin di rumah.

“Alhamdulillah, program yang kita anjurkan ini berjaya dan mendapat hasil yang cukup baik. Terima kasih diucapkan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program ini.

“Apa yang pasti, program ini tidak terhenti di sini, sebaliknya kita akan terus memperkasa peranan masjid dengan melakukan pelbagai pengisian program di masa akan datang.

“Kita juga akan pastikan anak-anak ini akan terus istiqamah ke masjid dan mengikuti pelbagai program yang akan kita jalankan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah di masjid berkenaan.

Hadiah kepada pemenang telah disampaikan oleh Penyelaras JAPERUN Ayer Keroh Datuk Mohd Arif Yusa.

PENYELARAS Japerun Ayer Keroh, Datuk Mohd Arif Yusa (tengah) menyampaikan hadiah kepada 22 orang remaja dan kanak-kanak selepas berjaya menamatkan pada program Istiqamah Subuh 40 Hari di Masjid Nur As Sa’adah, Kampung Pengkalan Batu, Melaka. Foto: MR Azli

Mengulas lanjut, Amzah berkata, rata-rata ibu bapa memberi maklum balas cukup positif di atas penganjuran program itu terutama dalam mengubah sikap anak-anak mereka ke masjid.

Katanya, perubahan ketara yang dapat dilihat ialah anak-anak berkenaan bukan hanya datang ke masjid pada solat Subuh bagi melengkapkan cap 40 hari, bahkan mereka turut hadir menunaikan solat berjemaah pada waktu lain, selain menyertai majlis bacaan Yasin dan program-program lain dianjurkan.

“Masa mula-mula memang mereka nampak seperti banyak bermain, tetapi bila ada pengisian kita nampak mereka ini terpandu dan berdisiplin untuk menunaikan kewajipan sebagai Muslim.

“Malah dari maklumat yang saya terima, ada dalam kalangan anak-anak ini yang mengejutkan ibu bapa mereka pada waktu Subuh untuk ke masjid.

“Alhamdulillah, saya bersyukur program seperti ini dapat membentuk anak-anak seawal usia dan diharap kesemua mereka dapat istiqamah dan bakal menjadi seorang pentadbir Islam di masa akan datang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1379
Kongsi :
Previous post MBMB tukar 1.5 tan barang kitar semula jadi duit
Next post Pembedahan kembar siam: Agong, Raja Permaisuri zahir ucapan tahniah kepada HTA
Ubah saiz-+=