Sorting by

×

Masjid terapung RM14j antara tercantik di dunia di Pulau Besar

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

BATU BERENDAM 5 Mei – Sebuah masjid terapung dianggarkan bernilai RM14 juta bakal dibina di Pulau Besar, tidak lama lagi yang bakal menjadi antara masjid tercantik di dunia.

Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Che Sukri Che Mat berkata, pembinaan itu merupakan antara agenda dalam menjadikan Pulau Besar sebagai Pusat Tamadun Islam di negeri ini.

Katanya, untuk membangunkan masjid itu, kerajaan negeri bakal melancarkan Saham Wakaf Masjid Pulau Besar tidak lama lagi yang mana ia membolehkan orang ramai mendapatkan saham akhirat daripada sumbangan pembinaan masjid terapung tersebut.

SEKITAR lawatan JAIM bersama agensi kerajaan negeri ke Pulau Besar baru-baru ini bagi melihat lokasi tapak pembinaan masjid terapung.

“Sekarang kita dalam proses menyiapkan kertas kerja sebelum ia dihantar kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk diluluskan.

“Prosesnya mungkin memakan masa, tetapi saya percaya jika ia direalisasikan, masjid tersebut bakal menjadi antara masjid tercantik di dunia,” katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI).

Mengulas lanjut, beliau berkata, selain masjid, di bahagian Selatan Pulau Besar juga akan dibangunkan Sekolah Tahfiz yang boleh menempatkan 500 golongan cerdik pandai dalam bidang agama, selain turut merancang pembinaan Quran Village dan Muzium Islam sebagai bukti agama Islam bermula di Melaka.

PENGARAH Jabatan Agama Islam Melaka Datuk Che Sukri Che Mat

“Malah, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali juga dalam cadangan menjadikan kawasan Pulau Besar sebagai kawasan patuh syariah yang mana semua pengunjungnya nanti wajib menutup aurat.

“Sesiapa sahaja pengunjung yang ingin masuk ke kawasan Tamadun Islam di Pulau Besar wajib memakai pakaian yang menutup aurat, walaupun datang untuk bergambar atau bermain golf sekalipun. Ini akan kita usahakan,” katanya.

Ditanya mengenai status Pulau Besar sebagai tempat pemujaan dan aktiviti khurafat, Che Sukri berkata, semua itu kini hanya tinggal sejarah selepas pihaknya bersama Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) membersihkan segala sisa-sisa aktiviti pemujaan dan akan terus memantau segala aktiviti yang dijalankan di pulau terbabit selepas ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3868
Kongsi :
Previous post MPHTJ kawal pintu laluan Pasar Borong di Batu Berendam sempena Aidilfitri
Next post Kes rogol Da’i: Sebutan semula 5 Julai.
Ubah saiz-+=