Sorting by

×

Masjid tawar hadiah motosikal buat jemaah hadir solat Subuh berjemaah

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

PENGKALAN BATU 24 Feb – Sebanyak empat buah motosikal Modenas Kriss MR3 bakal menjadi milik jemaah yang hadir menunaikan solat berjemaah di Masjid As-Sa’adah, di sini.

Pengerusi masjid itu, Datuk Amzah Osman berkata, semua jemaah yang hadir selama 40 hari menunaikan solat berjemaah berpeluang membawa pulang motosikal berharga RM4,000 itu.

Jelasnya, Program Istiqamah Subuh Berjemaah 40 Hari itu diadakan bertujuan memperkasa peranan masyarakat untuk mengimarahkan masjid di kawasan berkenaan.

Ujarnya, sebanyak empat kategori dibuka buat jemaah yang hadir antaranya Kategori Anak Kariah dan Kategori Terbuka buat penduduk luar.

Selain itu, turut ditawarkan kategori Pegawai Syarak dan kakitangan masjid serta kategori jemaah wanita yang akan dibuka bermula Jumaat ini (esok).

“Kita akan melakukan pendaftaran bermula Jumaat ini dan ia akan dilaksanakan bermula 1 Mac depan selama 40 hari.

“Setiap peserta akan didaftarkan mengggunakan sistem pengesan cap jari bagi mengesan kehadiran mereka tiap kali waktu solat berjemaah diadakan.

“Setiap markah akan dinilai menerusi kehadiran Solat Subuh dan Isyak malah bagi waktu yang lain juga mata tambahan akan diberikan kepada jemaah yang hadir.

“Ini merupakan salah satu usaha untuk kita melahirkan masyarakat yang cintakan masjid dan memanfaatkan masjid dalam menyemai cinta kepada Allah,” katanya dalam satu kenyataan kepada media.

Terdahulu, usahanya mengimarahkan masjid dalam kalangan kanak-kanak turut menerima sambutan luar biasa selepas menawarkan hadiah 40 buah basikal bagi anak-anak yang menunaikan solat Subuh berjemaah selama 40 hari.

“Alhamdulillah kita melihat anak-anak mula mendekatkan diri dengan masjid dan lama kelamaan Insya-Allah sifat ini dapat digilap pada masa akan datang.

“Malah perancangan kita juga akan memastikan anak-anak ini dilantik menjadi sukarelawan masjid dan merencana pelbagai aktiviti buat mereka sekali gus mencapai hasrat kita untuk mengimarahkan masjid.

“Kita akan lipat gandakan usaha ini seperti mengadakan pelbagai kelas mengaji Al-Quran kelas agama dan tauhid bagi melahirkan anak-anak yang berintegriti,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1394
Kongsi :
Previous post Piala FA: Melaka United berdepan laluan mudah
Next post Malaysia teliti bantuan kepada komuniti Melayu Islam Champa- PM
Ubah saiz-+=