Masjid Selat tidak akan dialihkan – Sulaiman

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

TANJUNG MINYAK 16 Okt. – Dakwaan mengalihkan Masjid Selat susulan projek penambakan laut di hadapan kawasan berkenaan tidak akan berlaku sama sekali.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, perkara itu tidak ada dalam urusan kerajaan negeri dan ia tidak akan berlaku berikutan bagi menghargai nilai sejarah kawasan terbabit.

“Saya tak nak komen sebab benda yang tak ada di dalam urusan atau pun sepanjang tempoh itu nak mengalihkan masjid ke kawasan yang lain. Itu tidak berlaku.

“Daripada dulu pun ada orang datang mungkin nak bina masjid itu lebih besar lagi mungkin nak bagi ke depan (besarkan) lagi.

“Masjid terapung ini ada nilai sejarah mana mungkin kerajaan dan kalau saya benarkan pun sudah pasti pihak kerajaan memberikan pandangan supaya ia tidak boleh dilaksanakan

“Insyallah ia tidak berlaku seperti yang didakwa, jadi kalau dia (bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron) tanya nak alih tanyalah dia sumber mana yang dia dapat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Melaka Hari Ini selepas menyantuni penduduk dalam Program Kunjungan Kasih di Taman Tanjung Minyak Indah, sebentar tadi.

Semalam, Idris menerusi satu rakaman video tular berdurasi satu minit 33 saat mendakwa laut di hadapan Masjid Selat akan ditambak dan masjid itu bakal dialihkan.

Untuk rekod, Masjid Selat dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 2006 dan ia bukan sahaja menjadi tempat ibadah orang Islam, malah satu daripada tarikan pelancongan negeri.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

705
Kongsi :
Previous post Masjid Selat tidak akan dialih – Jurucakap kerajaan negeri
Next post Pandemik belum berakhir walaupun sudah Fasa 4 – KM
Ubah saiz-+=