Masjid, sekolah baharu di DUN Paya Rumput

Masa Membaca:3 Minit, 45 Saat

PAYA RUMPUT 7 Disember – Melepasi tempoh setahun menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin akan terus komited memacu kemajuan kawasan itu.

Katanya, dalam tempoh setahun ini sahaja, beberapa kejayaan telah dicapai, antaranya membabitkan beberapa pembangunan infrastruktur.

Beliau berkata, antara yang berjaya direalisasikan ialah pembinaan masjid dan sekolah baharu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput.

MASJID BAHARU CHENG PERDANA

Menurut Rais, antara infrastruktur yang berjaya diperjuangkan ialah pembinaan masjid baharu di Cheng Perdana.

Katanya, sebelum ini penduduk di sekitar kawasan itu berdepan kesukaran untuk menunaikan solat Jumaat berikutan masjid sedia ada tidak mampu menampung kapasiti jemaah.

Bertitik-tolak daripada itu, beliau mengambil inisiatif membuat permohonan masjid baharu dan ia diluluskan Kerajaan Negeri.

“Masjid yang sedia ada di Cheng tidak cukup kapasiti untuk menampung jemaah sebelum ini.

“Ramai penduduk mengadu masjid sentiasa penuh apabila solat Jumaat dan solat-solat yang penting, jadi Kerajaan Negeri mengambil tindakan untuk membina sebuah masjid baharu.

“Insya-Allah, masjid baharu di Cheng Perdana dengan kapasiti sehingga 900 jemaah akan siap dalam tempoh terdekat, yang mana ia membabitkan peruntukan hampir RM6 juta,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

3
RAIS ketika majlis pecah tanah sebuah surau baharu di Krubong.

SRA TAMPOI

Menurut Rais, selain institusi keagamaan, pihaknya turut memperjuangkan fasiliti pendidikan yang selesa untuk anak-anak di DUN berkenaan.

Hasil usahanya, penduduk sekitar Tampoi, Krubong akan menerima sebuah Sekolah Rendah Agama (SRA) baharu yang dijangka siap pada tahun hadapan.

Katanya, sebelum ini, kawasan berkenaan tidak pernah mempunyai sekolah agama dan dengan pembinaan itu ia dapat mengurangkan beban ibu bapa yang sebelum ini terpaksa menghantar anak mereka ke sekolah agama yang lebih jauh.

“SRA Tampoi ini akan dibina dengan peruntukan sebanyak RM4 juta, dan sekolah ini cukup untuk menampung keperluan yang mendesak di kawasan terbabit.

“Pembinaan sekolah ini sudah diluluskan dan dijangka akan siap sepenuhnya dan boleh beroperasi pada tahun hadapan,” katanya.

Tambahnya lagi, selain SRA, sebuah sekolah kebangsaan baharu turut dalam proses pembinaan iaitu SK Krubong.

Katanya, sekolah itu dijangka siap pada suku ketiga tahun hadapan dan dijangka akan terus beroperasi selepas itu.

“Sekolah baharu itu dijangka akan siap pada suku ketiga tahun hadapan dan beroperasi sepenuhnya juga pada tahun hadapan,” katanya.

TUISYEN PERCUMA DITERUSKAN

Selaku Exco Pendidikan, Teknologi dan Telekomunikasi Negeri, beliau turut meneruskan janji manifestonya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang lalu untuk memberi tuisyen percuma buat anak-anak DUN Paya Rumput.

Ujar Rais, tuisyen percuma itu khusus buat pelajar-pelajar yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Di bawah DUN Paya Rumput, terdapat dua buah sekolah menengah yang mempunyai pelajar SPM iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paya Rumput dan SMK Tun Haji Abdul Malek.

“Oleh sebab itu, penting tuisyen percuma ini diadakan dan kita turut berbesar hati apabila Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) telah menambah peruntukan setiap sekolah ini untuk meneruskan tuisyen percuma di bawah DUN Paya Rumput,” ujarnya.

2
RAIS (kiri) bersama anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Melaka membantu memindahkan mangsa banjir di Kampung Lanjut Manis, Krubong pada Oktober lalu.

ATASI BANJIR

Dalam pada itu, Rais turut memberitahu beberapa kawasan yang kerap dilanda banjir seperti di Kampung Lanjut Manis, Kampung Tanah Merah dan Padang Siapong hampir menemui titik noktah menerusi kerja-kerja naik taraf saliran yang dijalankan.

Di samping itu, katanya, kerja-kerja selenggara akan turut dipergiat di kawasan-kawasan lain antaranya Cheng dan Tanjung Minyak yang berpotensi dilanda banjir kilat apabila berlaku hujan melebihi satu jam.

“Alhamdulillah, beberapa kawasan yang dinyatakan dapat diatasi isu banjir yang mana kerja-kerjanya dijalankan secara berperingkat.

“Ada juga kawasan longkangnya kita selenggara, di kawasan kampung juga begitu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri serta Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) banyak membantu mengatasi isu banjir dalam DUN Paya Rumput ini,” katanya.

1
RAIS

BIODATA

Nama: Datuk Rais Bin Datuk Wira Yasin
Umur: 38

Karier:-
– Exco Pendidikan, Teknologi dan Telekomunikasi (2021 – kini)
– Ahli Dewan Undangan Negeri Paya Rumput (2021 – kini)

Pendidikan:-
– Ijazah Sarjana Muda Syariah Islamiah Universiti Al-Azhar

Politik:-
– Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia (2018 – kini)
– Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia (2018 – kini)
– Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Tangga Batu (2018 – kini)

INFO DUN PAYA RUMPUT

Jumlah pengundi : 42,159

Kampung : 4
Taman Perumahan : 76

Rumah Ibadat:-
Masjid: 7
Tokong: 2
Kuil: 2

Institusi Pendidikan:-
Sekolah Kebangsaan: 5
Sekolah Menengah: 2
Sekolah Jenis Kebangsaan Cina: 2
Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil: 1

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3401
Kongsi :
Previous post ‘Kawan gaduh’ rupanya jodoh, dapat ANC bersama
Next post Penyambung legasi pembikin bot Melaka
Ubah saiz-+=