Masjid perlukan RM33,000 baiki pendawaian uzur
AYER LIMAU 14 Feb – Pihak pengurusan Masjid al-Wakil, Lubok China di sini bimbang risiko litar pintas berikutan wayar atau dawai uzur yang terendam dalam banjir besar pada kejadian Dis lalu.
Pengerusi masjid, Nasarudin Mohamad, 60, mendakwa wayar yang sudah uzur dan terendam selama kira-kira 24 jam akibat banjir pada 18 Dis lalu mendedahkan masjid kepada risiko kebakaran.
“Kami amat bimbang dengan situasi itu dan berharap ada pihak yang sudi memberikan sumbangan untuk kami mengupah kontraktor membuat kerja pendawaian semula secepat mungkin.
“Seorang kontraktor pendawaian elektrik yang membuat penilaian baru-baru ini menganggarkan kerja berkenaan memerlukan kos RM33,000,” katanya ketika ditemui di masjid itu hari ini.
Nasarudin berkata, pihak pengurusan masjid sudah menerima sumbangan RM67,000 daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan RM55,000 daripadanya sudah dimanfaatkan untuk pembelian dan pemasangan jubin lantai masjid.
Katanya, pemasangan jubin adalah atas nasihat pegawai MAIM bagi menggantikan penggunaan permaidani yang sebelum ini ditenggalami air akibat bah yang melanda.
Beliau berkata, baki RM12,000 daripada sumbangan MAIM digunakan untuk kerja pembaikan sistem pembesar suara yang membabitkan perbelanjaan keseluruhan RM19,900.
Selain itu, pengurusan masjid juga memerlukan peruntukan bagi menggantikan 12 pintu yang rosak akibat banjir sebelum ini.
Sehubungan itu, beliau merayu anggota komuniti menghulurkan sumbangan dengan menginfakkan wang ke akaun Bank Islam 040240-1000-4828 bagi membolehkan kerja pendawaian semula dilaksanakan.
“Jika kami menggunakan wang tabung masjid, kami tidak akan mempunyai dana mencukupi untuk kerja pembangunan masjid pada masa hadapan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.