Masjid lama terabai: PERZIM hadapi kekangan dana terhad
KOTA LAKSAMANA 19 Mei – Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) menghadapi kekangan dana yang mencukupi bagi menjalankan kerja-kerja memulihara atau pembaikan pada masjid lama di negeri ini.
Pengurus Besar PERZIM, Drs Mohd Nasruddin Rahman berkata, pihaknya bergantung kepada sumbangan daripada pelbagai agensi ke dalam tabung pemuliharaan bagi mengerakkan usaha tersebut.
Menurutnya, ekoran sumbangan yang semakin berkurangan, kerja-kerja pemuliharaan terhadap masjid-masjid lama yang rosak tidak dapat dilakukan selain kos pembaikan yang agak tinggi.
“Tabung pemuliharaan warisan ini disumbangkan oleh pelbagai agensi di bawah kerajaan negeri, kalau sumbangan semakin merosot, keupayaan PERZIM dalam soal ini juga semakin sukar.
“Kalau dulu ada dana yang cukup, boleh kita baik pulih lima hingga enam masjid lama setahun tetapi sekarang agak sukar sebab dana kurang,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini (MHI).
Beliau diminta mengulas mengenai 55 buah masjid lama di negeri ini yang didapati rosak sehingga menjejaskan nilai sejarah pada masjid tersebut.
Sehubungan itu menurut Mohd Nasruddin, pihaknya berharap penglibatan lebih aktif dari kalangan agensi untuk menyumbang ke dalam tabung pemuliharaan sekali gus mengatasi masalah yang timbul.
Pada masa yang sama, katanya, pihak pengurusan masjid lama juga diharap bekerjasama dengan tidak hanya membiarkan kerosakan yang dihadapi sebaliknya merujuk segera masalah itu kepada PERZIM.
“Sebagai contoh, kalau ada kerosakan kecil dan tidak memerlukan kos yang tinggi, pihak masjid boleh mengupah kontraktornya sendiri tetapi rujuk terlebih dahulu dengan kita.
“Ia bagi mengelakkan kerosakan pada sesetengah struktur masjid yang kita sudah wartakan di bawah enakmen pemuliharaan misalnya kubah, bumbung, mimbar atau lantai asal.
“Kita tidak mahu pihak masjid melakukan pengubah suaian yang tidak mengikuti garis panduan seperti menukar bumbung masjid kepada bentuk crome atau steel, ini sudah berlainan dengan imej negeri sebagai negeri warisan sejarah,” kata beliau.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.