Masjid lama rosak, terabai hakis warisan sejarah

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

KOTA LAKSAMANA 18 Mei – Perhatian serius perlu diberikan pihak berkenaan apabila dilaporkan hanya sebuah daripada 56 masjid lama berusia lebih 100 tahun di negeri ini masih dalam keadaan baik dan warisan sejarahnya terpulihara.

Konservator, Kamaruddin Md Said berkata, 55 lagi masjid diletakkan di bawah Enakmen Pemuliharaan dan Pemugaran Warisan Budaya 1988 Warisan telah rosak dan ‘hilang’ seni tinggalan sejarah akibat pelbagai faktor.

Menurutnya, hanya Masjid Kampung Keling yang berusia lebih 200 tahun dilihat masih elok dan terjaga warisan sejarahnya disebabkan kedudukan serta ruang sekeliling bangunan yang agak terhad.

“Ada antara masjid lama ini telah rosak akibat tindakan pengurusan yang melakukan ubah suai bangunan tanpa mengetahui warisan sejarah yang terdapat pada masjid.

“Ini disebabkan mereka tiada pengetahuan tentang sejarah dan tidak merujuk terlebih dahulu dengan agensi berkaitan seperti Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) sebelum baiki atau pengubah suaian,” katanya.

Beliau ditemui Melaka Hari Ini (MHI) selepas membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Yang Lama Dikelek-Menyantuni Bangunan Warisan’ pada Bengkek Konservasi: Pemulihan Dan Pemuliharaan Warisan Ketara di sini.

Bengkel yang memasuki hari kedua hari ini membabitkan150 peserta daripada pelbagai jabatan seluruh negara selain pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta seperti Universiti Malaya serta Politeknik Merlimau Melaka.

“Kita tidak boleh salahkan pihak masjid kerana jawatankuasa berubah mengikut tempoh dan bila bertukar mereka tidak tahu nak urus masjid warisan ini.

“Sepatutnya mereka ini diberi garis panduan yang jelas dan pada masa, perlu ada peranan MAIM dan PERZIM untuk memberi nasihat atau rujukan,” katanya

Jelasnya, ada sesetengah pengurusan masjid warisan ini lebih selesa menyelenggara sendiri masjid atau membiarkan kerosakan kecil tanpa merujuk perhatian agensi terlibat.

“Misalnya masalah tumbuhan menjalar di atas kubah atau bumbung masjid yang pada awalnya hanya kecil namun bila dibiarkan, ianya berakar dan merosakan stuktur bangunan.

“Ia kemudiannya menuntut kos pembaikan yang besar namun tidak semua agensi seperti PERZIM mampu untuk membaik pulih kerosakan yang berlaku.

“Alangkah lebih baiknya, jika dua kali sebulan, pihak masjid mengenal pasti apa-apa kerosakan kecil yang boleh dibaiki dengan kos yang murah sebelum menjadi teruk dan akhirnya terbiar,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau mencadangkan semua agensi terlibat dalam pemuliharaan dan penjagaan masjid warisan termasuk Jabatan Warisan dan Jabatan Kerja Raya mengenal pasti pendekatan yang sesuai bagi menangani permasalahan yang timbul.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1433
Kongsi :
Previous post Abang Viva kini ‘VIP’ Stadium Hang Jebat
Next post Kamera AwAS rekod 7,564 kes sepanjang Op HRA 2022 di Melaka
Ubah saiz-+=