Masjid baharu, naik taraf kemudahan DUN Taboh Naning

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

TABOH NANING 2 Disember – Menaik taraf kemudahan awam dan membina sebuah masjid baharu di Kampung Ayer Paabas, antara perancangan yang akan dilaksanakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning.

Mengulas mengenai pembinaan masjid berkenaan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning, Datuk Zulkifli Mohd Zin berkata, kemudahan itu dijangka membabitkan perbelanjaan berjumlah RM1.8 juta.

Katanya, apabila siap kelak masjid baharu itu mampu menampung sehingga 800 orang jemaah pada satu-satu masa, sekali gus memberikan kelesesaan kepada umat Islam untuk melakukan amal ibadat.

“Masjid yang sedia ada sudah uzur dan tapaknya adalah diatas tanah rezab Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), jadi kita rancang untuk bina yang baharu.

“Selain itu Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) juga memperuntukkan sejumlah RM250,000 untuk kos baik pulih bumbung dan pintu tandas Masjid Sungai Buloh yang mengalami kerosakan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Sementara itu mengenai kemudahan awam pula Zulkifli berkata perancangan itu membabitkan pelebaran jalan di pintu masuk Tol Simpang Ampat, bagi mengatasi kesesakan terutama pada cuti umum.

“Peruntukan RM30 juta juga sudah diluluskan kerajaan bagi kerja-kerja pelebaran jalan ini. Selain itu, kita turut meminta pihak berkenaan memberikan perhatian terhadap Jalan Kemus yang kerap dilanda banjir kilat setiap kali hujan lebat, mungkin laluan itu boleh ditinggikan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1257
Kongsi :
Previous post 50 tan jerami jadi arca tengah bendang
Next post 701 kampung tradisional Melaka ‘didigitalkan’
Ubah saiz-+=