Masjid baharu Kampung Bukit Tembakau siap 2024

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

SERKAM 12 November – Penantian lebih enam tahun penduduk Bukit Tembakau untuk mendapatkan masjid baharu akhirnya direalisasikan apabila ia bakal siap sepenuhnya pada 2024.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, masjid baharu dengan kos RM5.6 juta akan didirikan di tapak seluas 1.32 hektar milik Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

Katanya, masjid baharu itu dijangka boleh menampung sehingga 800 jemaah pada satu-satu masa.

“Projek masjid baharu ini dijangka bermula pada awal tahun 2023 dan dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun 2024.

“Selepas ini diharapkan tiada lagi penduduk di Kampung Bukit Tembakau solat di atas jalan raya setiap kali solat Jumaat dan solat hari raya.

“Dan saya harapkan penduduk setempat dapat mengimarahkan masjid ini serta mengoptimumkan penggunaannya dengan melaksanakan program komuniti agar dapat mengeratkan lagi silaturahim antara umat Islam di kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Membina Masjid Baharu Kampung Bukit Tembakau, di sini, petang tadi.

Hadir sama, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Serkam, Datuk Zaidi Attan; Ahli Parlimen Jasin Datuk Seri Ahmad Hamzah; Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Che Sukri Che Mat dan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR), Datuk Ir Ismail Abd Rahman.

IMG_20221112_184036_504
JASIN 12 NOVEMBER 2022. Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama, Sulaiman Md Ali (dua dari kiri) menandatangani pelan pembinaan masjid pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Masjid Baharu di Kampung Bukit Tembakau, Umbai, Merlimau, Jasin. Foto: MR. AZLI

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, penambahan penduduk antara faktor pembinaan masjid baharu di kampung tersebut.

Jelasnya, masjid lama di kawasan terbabit hanya mampu memuatkan 300 jemaah dalam satu masa, yang mana dengan bilangan lebih 1,600 penduduk di kampung dan taman-taman berhampiran, ia tidak dapat ditampung masjid tersebut.

“Bagi tujuan projek pembinaan masjid, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM5 juta untuk biaya sebahagian kos pembinaan, manakala hasil kutipan penduduk dan tabung kutipan saham wakaf sebanyak RM 700,000 berjaya dikumpulkan bagi menampung baki kos pembinaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2853
Kongsi :
Previous post Melaka pertimbang benarkan surau jauh dari masjid laksana solat Jumaat
Next post Menara telekomunikasi baharu di Kem Terendak akan disegerakan
Ubah saiz-+=