MASJID AL JAWAHIR DAPAT BUMBUNG BAHARU
TANJUNG BIDARA 15 Oktober – Struktur bumbung Masjid Al Jawahir Pengkalan Balak akan digantikan sepenuhnya bagi mengatasi masalah kebocoran kerap berlaku, menggunakan peruntukan berjumlah RM1.45 juta yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri menerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).
Pengerusi Masjid Al Jawahir Roslan Othman, meluahkan rasa syukur kerana selepas tiga tahun menunggu, akhirnya permasalahan berlaku berjaya dinoktahkan hasil sikap cakna dan prihatin pelbagai pihak terutama Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara.
Katanya, jika semua perancangan berjalan lancar kerja menggantikan struktur bumbung berkenaan akan dimulakan November ini dan dijangka siap sebelum Ramadan tahun hadapan (Mac 2025).
“Sebelum ini kami ada membaiki bahagian yang bocor namun permasalahan ini berulang, diharapkan penggantian keseluruhan strukur berkenaan akan mengatasi masalah berlaku, sekali gus menyediakan suasana lebih selesa untuk umat Islam melaksanakan ibadat atau bersama-sama memeriahkan majlis ilmu dianjurkan selepas ini.
“Terima kasih kepada Ketua Menteri yang banyak membantu menyelesaikan masalah berlaku di Masjid Al Jawahir. Syukur alhamdulillah kepada Allah SWT atas kurniaan ini,” katanya kepada Melaka hari ini ketika ditemui pada Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia Peringkat Negeri Melaka dan Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat Peringkat Alor Gajah Tahun 2024 di Japerun Tanjung Bidara, Ahad lalu.
Pada majlis sama Setiausaha MAIM Shaifulfazlee Mohamad, menyerahkan replika cek sumbangan pembaikan Masjid Al Jawahir, Pengkalan Balak, kepada Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh.
Simbolik penyerahan itu turut disaksikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, juga Adun Tanjung Bidara.
Roslan berkata, solat Jumaat juga akan dilaksanakan di surau sementara, sepanjang tempoh kerja menggantikan bumbung masjid berkenaan dilaksanakan.
Katanya, perkara itu akan dirujuk kepada Jabatan Mufti bagi memilih surau sekitar Pengkalan Balak yang sesuai untuk melaksanakan solat Jumaat.
“Apabila diputuskan nanti kami akan membuat hebahan berhubung pelaksanaan Solat Jumaat ini. Insya-Allah apabila siap kelak diharap umat Islam di kawasan ini lebih bersemangat untuk bersama-sama hadir bagi mengimarahkan masjid kita,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.