Masjid al-Ehsan korban 23 lembu, lima kambing

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

TANJUNG BIDARA 11 Julai – Sebanyak 23 lembu, lima kambing dan seekor kerbau yang dikorbankan Masjid al-Ehsan, Kampung Londang di sini hari ini, dipercayai antara yang tertinggi di negeri ini.

Pengerusinya, Datuk Abdul Mutallif Che Mat berkata, jumlah berkenaan adalah hasil sumbangan anak kariah secara individu dan berkelompok bagi mendapat keredaan Allah S.W.T.

Beliau bagaimanapun mengakui, bukan mudah untuk mengendalikan penyembelihan yang bermula seawal jam 6.30 pagi itu dan berakhir lima jam kerana ia memerlukan kesabaran yang tinggi.

“Tanpa kesabaran dan keredaan pada sanubari pasukan petugas, tidak mungkin haiwan itu mampu dikorbankan mengikut waktu yang ditetapkan kerana kami tidak mahu anak kariah menunggu lama untuk
mendapatkan daging.

“Jika tahun lalu kami mengorbankan 28 lembu, tahun ini ia berkurangan kepada 23 lembu, seekor kerbau dan lima kambing tetapi ia sudah cukup untuk memastikan lebih 3,000 anak kariah menikmati daging masing-masing,” katanya di masjid berkenaan.

Tugas mengetuk tulang haiwan korban dilakukan anak muda di Masjid al-Ehsan Kampung Londang, Masjid Tanah.Foto Din Ahmad

Beliau berkata, bagi melicinkan tugas penyembelihan, hanya mereka yang benar-benar mahir dalam tugas berkenaan diberikan tanggungjawab itu.

Katanya, pihak pengurusan masjid bersyukur kerana tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku sepanjang operasi menyembelih haiwan.

Imam I masjid itu, Mohd Nawawi Abdullah berkata, semua pihak yang bersedekah berpuas hati dengan kaedah pengurusan penyembelihan dan pengagihan daging.

“Alhamdulillah, tiada nama mereka yang bersedekah tercicir ketika nama mereka disebut sebelum kerja menyembelih dibuat,” katanya.

Ahli jawatankuasa (AJK) masjid, Ali Long, 56, berkata urusan melapah dilakukan AJK dengan penuh kesabaran dan komitmen yang tinggi semata-mata untuk memastikan semua pihak berpuas hati dengan pengagihan daging.

“Tugas mengetuk tulang kami serahkan kepada tiga anak muda yang mahir dengan tugas itu manakala melapah daging kami buat bersama-sama dalam kalangan AJK,” katanya.

Seorang lagi AJK, Abdul Rahim Yunus, 70, berkata tugas menimbang dilaksanakan secara tepat dan adil bagi memastikan anak kariah memperoleh daging pada kuantiti yang sama.

Meskipun kepenatan, mereka yang terbabit mengendalikan urusan berkenaan ceria kerana berpeluang menabur budi sesama manusia, katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1393
Kongsi :
Previous post Pelbagai aktiviti sempena sambutan Hari Penduduk Sedunia 2022
Next post Karnival Jom Beli Rumah tawar 10,000 unit rumah mampu milik
Ubah saiz-+=