Sorting by

×

MASIH TUNGGU STATUS PEMBINAAN LOJI WTE

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

PAYA RUMPUT 21 Januari – Kerajaan Negeri masih menunggu status pembinaan loji Sisa ke Tenaga (WTE) di Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Sungai Udang yang kini masih belum dimuktamadkan.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, pembinaan loji WTE atau insinerator itu menjadi keperluan mendesak memandangkan jangka hayat tapak pelupusan sampah sedia ada hanya boleh bertahan sehingga Mac tahun depan.

Katanya, di peringkat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) perkara ini telah selesai malah tender juga sudah diberikan kepada syarikat yang berjaya.

“Sepatutnya di peringkat kementerian ianya sudah selesai tetapi kita di peringkat Kerajaan Negeri masih menunggu status pembinaan insinerator ini.

“Malah difahamkan ianya sudah di peringkat akhir cuma perkembangan di peringkat mana hanya kementerian sahaja yang mengetahuinya.

“WTE ini sangat penting untuk Melaka yang mana tapak di Sungai Udang itu boleh bertahan sehingga Mac tahun depan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput berkata demikian ketika ditemui pada
Majlis Apresiasi Kecemerlangan 2024/2025 Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Rumput, baru-baru ini.

Menurutnya, di pihak Kerajaan Negeri amat berharap pihak yang terbabit dapat mengambil tindakan segera bagi mendapatkan perincian terperinci berhubung projek pembinaan loji berkenaan.

“Kita berharap KPKT, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) boleh mengambil tindakan segera berkaitan bila tarikh projek ini akan dimulakan dan sebagainya.

“Apa yang diharapkan ia boleh disegerakan dan selaku rakyat Melaka kita masih menantikan untuk pembinaan WTE ini direalisasikan,” katanya.

Jelasnya, pembinaan WTE itu juga sekaligus akan dapat membantu pengurusan sisa pepejal yang lebih baik dan sistematik.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

129
Kongsi :
Previous post 32 INDIVIDU CEDERA DALAM KEJADIAN LETUPAN KILANG KIMIA DI KLANG
Next post MELAKA JADI CONTOH NEGERI PRAKTIK NILAI PATRIOTISME
Ubah saiz-+=