![Whatsapp Image 2025 02 13 At 16.37.20](https://www.melakahariini.my/wp-content/uploads/2025/02/WhatsApp-Image-2025-02-13-at-16.37.20.jpeg?v=1739436064)
‘MASIH TERNGIANG-NGIANG SUARA ISTERI, ANAK-ANAK’
JASIN 13 Februari – “Saya masih terdengar-dengar suara isteri panggil nama anak-anak. Saya minta maaf.”
Itu ungkapan tidak putus-putus keluar dari bibir Muhammad Khairuddin Sa’ari, 35.
Muhammad Khairuddin merupakan suami dan bapa kepada mangsa rentung dalam kebakaran di Kampung Berangan Enam, Umbai.
Ketika ditemui di Jabatan Kecemasan Hospital Jasin, dia masih tidak dapat melupakan peristiwa hitam yang berlaku hingga menyebabkannya kehilangan lima ahli keluarga sekelip mata.
Dia juga turut mengungkapkan ucapan maaf kepada ibu mentuanya, Ruziha Rosman, 60, kerana tidak dapat menyelamatkan isteri dan anak-anaknya dalam kejadian itu.
Sebelum ini, Melaka Hari Ini melaporkan, Muhammad Khairuddin yang kaki kanannya patah dan bersimen tidak dapat menyelamatkan kesemua ahli keluarganya disebabkan pergerakan terbatas, selain mengalami sesak nafas akibat kepulan asap tebal.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, rumah separa kekal didiami keluarga berkenaan hangus dijilat api dan menyebabkan lima beranak rentung.
Mangsa yang maut adalah Laila Fathinah Mustapa, 37 (ibu); Nur Damia Batrisyia Abdullah, 13; Izz Daffa Hafizuddin, 7; Nur Dalilah Khadijah, 6 dan Izz Danish Fathi, 4 tahun.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.