Masih kurang rakyat Melaka jalani saringan kesihatan

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

BANDA HILIR 24 September – Kesedaran rakyat Melaka terhadap kepentingan menjalani saringan kesihatan masih rendah, kata Pengarah Kesihatan Negeri Melaka Datuk Dr. Rusdi Abdul Rahman.

Menurut beliau, ia dapat dilihat apabila saringan kesihatan yang diberi secara percuma seperti Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) yang dilancarkan tahun ini masih rendah.

Ujarnya, menerusi data yang diterima kurang daripada 5,000 penduduk di negeri ini memanfaatkan inisiatif itu berbanding sasaran sebanyak 30,000 orang yang ditetapkan.

“Saringan awal Skim PeKa B40 boleh dilakukan di mana-mana klinik kesihatan atau klinik swasta terpilih yang mana ia disediakan bagi pengesanan awal pelbagai jenis penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis, tekanan darah tinggi, paras kolesterol dalam darah dan obesiti.

“Jadi, kita menyeru lebih ramai rakyat Melaka menjalani saringan awal ini kerana tahap kesedaran di negeri ini masih lagi rendah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera (Wellness Month) Peringkat Negeri Melaka 2023 di sebuah pusat beli-belah, di sini, semalam.

Majlis itu dirasmikan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwe Hee Sem.

Tambah Dr. Rusdi, selain Skim PeKa B40, program saringan kanser percuma yang disediakan Kerajaan Negeri menerusi Perbadanan Bioteknologi Melaka juga kurang mendapat sambutan.

Ia apabila hanya kira-kira 2,000 orang menjalani saringan berkenaan berbanding sasaran 5,000 yang ditetapkan.

“Malah, ada ketikanya petugas terpaksa menghubungi penduduk untuk menjalani saringan itu apabila melakukan jelajah program di sesuatu kawasan.

“Jadi, kita berharap selepas ini lebih ramai akan cakna terhadap kepentingan saringan kesihatan terutama menerusi inisiatif yang disediakan kerajaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2246
Kongsi :
Previous post Sungai Rambai destinasi agropelancongan
Next post Amaran hujan berterusan di dua negeri hingga Isnin
Ubah saiz-+=