Sorting by

×

MASALAH RESIDENSI PRIMA KLEBANG 2 DIJANGKA SELESAI SUKU KEDUA 2025

Masa Membaca:1 Minit, 56 Saat

KLEBANG 18 April – Kerajaan Negeri memberi jaminan pemasalahan berkaitan projek Residensi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) Klebang 2, ditangani sebaiknya dan selesai pada selewat-lewatnya pada suku kedua tahun ini.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, isu berbangkit membabitkan kediaman itu berada dalam pengetahuan Kerajaan Negeri, malah Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh sendiri mempengerusi mesyuarat yang diadakan.

Katanya, antara isu yang diketengahkan oleh pembeli adalah kelewatan pembinaan pembetung sehingga menyebabkan mereka masih belum dapat berpindah masuk ke kediaman masing-masing.

“Ketua Menteri sudah arahkan supaya isu diselesaikan dengan segera, malah saya sendiri juga telah berbincang bersama dengan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) untuk menyelaraskan perkara ini.

“Kita yakin dan pasti dalam tempoh terdekat atau pada suku kedua tahun ini perkara ini akan dapat diselesaikan, sekali gus membolehkan pembeli untuk menduduki rumah mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Kesyukuran Dan Bacaan Yasin Perdana Sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-22 Bandaraya Melaka Bersejarah yang turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam, di Masjid Al-Aminin, Batang Tiga, baru-baru ini.

Turut hadir pada majlis itu Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman bersama Setiausaha MBMB Muhammad Firdaus Shariff serta Mufti Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawil.

Menurut Rais, difahamkan isu kelewatan pembinaan pembetung itu membabitkan beberapa aspek bahagian koridor infrastruktur.

“Dalam menyelesaikan perkara ini juga saya akan berhubung dan bersama-sama dengan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.

“Kita di pihak Kerajaan Negeri kami amat prihatin terhadap nasib rakyat dan sedaya upaya mencari penyelesaian terbaik dalam membantu meringankan beban ditanggung,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Kerajaan Negeri tidak akan teragak-agak membawa isu kelewatan perumahan Residensi Klebang 2 di bawah Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) ke Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sekiranya projek itu tidak dapat disiapkan selewat-lewatnya pada awal tahun 2025.

Ia susulan apabila ramai pembeli membuat aduan keapda Kerajaan Negeri, selepas projek yang mempunyai 800 unit kediaman itu gagal disiapkan sehingga Oktober tahun lalu.

Kerajaan Negeri memandang serius projek perumahan yang mengalami kelewatan atau gagal disiapkan mengikut tempoh waktu yang ditetapkan kerana perkara itu memberi banyak implikasi termasuk kepercayaan pembeli.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

894
Kongsi :
Previous post B.E.L.I.A TERAS UTAMA KEPIMPINAN ORANG MUDA MELAKA
Next post DEWAN BELIA NEGERI MELAKA BUKAN UNTUK ‘GLAMOUR’ TETAPI LAKSANAKAN AMANAH