Masalah di PPS Selangor dianggap selesai -PM
KLANG, 19 Dis – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata isu berhubung makanan tidak mencukupi dan mangsa banjir yang terperangkap serta belum dipindahkan ke pusat perpindahan sementara (PPS) yang timbul sejak semalam dianggap selesai.
Ismail Sabri berkata perkara tersebut antara beberapa yang dibangkitkan dalam mesyuarat khas dan persediaan segera selepas meninjau mangsa banjir di dua PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Gong dan SK Johan Setia, dekat sini pagi tadi.
“Ada beberapa isu yang dibangkitkan tadi iaitu yang kami bincangkan dari segi mereka yang terperangkap di rumah dilaporkan sudah selesai.
“Cuma mereka yang terperangkap di dalam kereta atau di tempat lain selain rumah, tindakan sedang dilaksanakan untuk memindahkan mereka,” katanya pada sidang media khas, di sini hari ini.
Ismail Sabri berkata isu berkaitan ketiadaan makanan juga dianggap selesai iaitu untuk makan malam hari ini dan sarapan pagi esok (20 Dis) akan disediakan kerajaan negeri manakala mulai esok makan tengah hari serta seterusnya akan disediakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Jadi dari segi makanan, kami kira selesai. Ini perkara besar,” katanya.
Ismail Sabri berkata dari segi tempat tidur kerajaan sudah mendapatkan komitmen daripada JKM untuk menyediakan tempat tinggal kubikel selesa yang disertakan selimut dan tilam kepada mangsa banjir di PPS.
“Begitu juga dengan keperluan lain, (di PPS) tandas hanya menggunakan tandas sekolah. Jadi memang tidak mencukupi dan kami bersetuju untuk sedia tandas mudah alih,” katanya.
“Pihak berkuasa tempatan (PBT) diminta untuk mencuci kawasan tersebut sebab kalau ramai dan hujan pula, kotorlah jadi kita nak jaga kebersihan. Longkang-longkang juga kami dah minta supaya Jabatan Pengairan dan Saliran mengambil tindakan segera untuk mencuci longkang yang menyebabkan air tersumbat,” katanya.
Ismail Sabri memaklumkan berdasarkan makluman yang diperoleh daripada Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), jumlah hujan turun di Selangor semalam menyamai jumlah hujan selama sebulan.
“(Hujan luar biasa) berlaku tiba-tiba, maka berlakulah kekalutan. Tidak ada persediaan, perpindahan rumah dan sebagainya. Tidak sangka air akan naik begitu cepat,” katanya.
Ismail Sabri berkata setakat hari ini bilangan mangsa di Selangor telah meningkat daripada lebih 6,000 semalam kepada lebih 15,000 di 108 PPS melibatkan lapan daerah.- BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.