Masalah banjir kilat di Taman Alai Perdana, Crystal Bay selesai

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

TELOK MAS 17 Julai – Lebih 1,000 penduduk di Taman Alai Perdana dan Crystal Bay yang sebelum ini dibelenggu dengan banjir kilat yang berlaku sejak belasan tahun lalu mampu menarik nafas lega apabila masalah itu dapat diselesaikan.

Ia susulan pemasangan ‘flap gate’ di kawasan perumahan berkenaan yang melancarkan aliran air setiap kali berlaku hujan lebat dan air pasang besar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas Abdul Razak Abdul Rahman berkata, penduduk di kedua-dua kawasan itu kini tidak perlu lagi khuatir atau bimbang rumah mereka akan dinaiki air apabila berlakunya cuaca hujan lebat berterusan seperti sebelum ini.

“Kalau dahulu, apabila berlakunya hujan lebat sudah semestinya 90 peratus rumah penduduk akan dimasuki air.

“Malah penduduk yang paling ramai akan menerima wang sagu hati dari Kerajaan Negeri juga dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas, boleh katakan tidak kurang dari 200 hingga 250 buah rumah.

“Tetapi sekarang ini boleh saya katakan masalah banjir kilat ini sudah selesai 95 peratus dan kalau katakan hujan lebat hanya empat atau lima buah sahaja yang terjejas itupun atas faktor lain,” katanya.

Beliau yang juga Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri berkata, selain pemasangan ‘flap gate’ dan naik taraf longkang, masalah banjir kilat ini juga dapat diatasi dengan kerjasama daripada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

“Masalah sejak sekian lama ini dapat diatasi apabila kita menemui masalah utamanya termasuklah pemasangan ‘flap gate’ dan melakukan kerja naik taraf longkang.

“Selain itu saya ucapkan juga terima kasih kepada MBMB kerana banyak membantu menyelesaikan isu banjir kilat di kedua-dua kawasan ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

275
Kongsi :
Previous post Tiga pengurus firma guaman direman bantu siasatan kes rasuah
Next post Istiadat Pertabalan Agong: Orang ramai dinasihat tidak cemas dengar tembakan meriam
Ubah saiz-+=