Sorting by

×

MARTABATKAN JASA PETANI

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

JASIN 24 Oktober – Bukan sahaja menyimpan pelbagai jenis artifak berharga, Muzium Pertanian Jasin juga berfungsi sebagai pusat pembelajaran dinamik dalam mengangkat sejarah, perkembangan serta evolusi sektor pertanian di Malaysia.

Penolong Kurator Bahagian Penyelidikan dan Dokumentasi, Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), Siti Rohani Hamzah berkata, peralatan tradisional seperti sabit serta kipas padi dipamer di muzium berkenaan adalah cerminan atau gambaran mengenai kegigihan petani pada zaman dahulu membanting tulang untuk mencari rezeki.

Siti Rohani berkata, gedung sejarah itu pada asalnya adalah bangunan pejabat pos, namun ruang dalamannya diubahsuai mengikut keperluan serta kesesuaian sebagai sebuah muzium sekitar tahun 1990-an.

“Kami amat menggalakkan orang ramai khususnya belia untuk singgah ke muzium ini, buka minda dan tingkatkan pengetahuan anda, selami cara hidup seharian petani pada zaman dahulu.

“Ruang pameran dan susun atur muzium ini juga menarik dengan dilengkapi grafik dan lukisan yang mudah difahami. Kami juga menyediakan ‘Diorama Sektor Gula Melaka’ serta ‘Diorama Penanaman Padi’ untuk memberi gambaran kepada orang muda mengenai teknik penanaman selain cara penggunaan peralatan yang ada pada zaman itu.

“Murid atau pelajar akan didedahkan mengenai cara penggunakan peralatan pertanian tradisional yang kini sudah jarang ditemui, apa yang kami kongsikan adalah satu pengalaman berharga untuk mereka bawa pulang,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut Siti Rohani berkata, Kerajaan Negeri serius dalam membangunakan muzium berkenaan agar sejarah seperti daerah Jasin sebagai perintis industri getah dan perlombongan bijih timah tidak dilupakan.

Menurutnya, muzium dibuka sejak 10 tahun lalu itu juga memiliki ruang yang selesa dan tidak padat, sekali gus membolehkan pelbagai akiviti disusun untuk pengunjung yang singgah.

“Justeru, kami mengalu-alukan Jabatan Pendidikan Negeri untuk menjalinkan kerjasama membabitkan program ilmiah atau akademik di muzium ini,” katanya.

Jelasnya, muzium berkenaan dibuka kepada orang ramai pada setiap hari kecuali Isnin dengan waktu operasi dari jam 9 pagi hingga 5.30 petang.

“Warganegara dikenakan tiket RM3 bagi dewasa dan RM2 bagi kanak-kanak. Sementara itu harga tiket bagi pelawat asing adalah RM5 bagi dewasa dan RM3 bagi kanak-kanak, waktu akhir pembelian tiket pula pada jam 4.30 petang.

“Kami juga menawarkan harga tiket istimewa kepada pihak sekolah atau pengunjung yang datang secara berkumpulan, tetapi mereka perlu hantar surat permohonan kepada pihak Perzim terlebih dahulu,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

100
Kongsi :
Previous post MENTERI KEBUDAYAAN, KESENIAN ASIA TENGGARA BERMESYUARAT DI MELAKA
Next post PAMERAN AEROANGKASA DI MINGGU SAINS NEGARA MELAKA
Ubah saiz-+=