Sorting by

×

Martabat seni pantun guna platform digital

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

AYER KEROH 3 Ogos – Satu pangkalan data menerusi sebuah laman web rasmi Gerbang Pantun Melaka, bakal dilancarkan bertujuan untuk memartabatkan seni warisan itu di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, laman sesawang itu bakal menjadi rujukan dan menyimpan koleksi pantun Negeri Melaka.

Ab Rauf berkata, seni warisan itu juga akan dijadikan sebagai antara bahan untuk menarik lebih ramai pelancong sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

“Pelancaran akan diadakan tidak lama lagi, berikutan itu kita menggalakkan orang Melaka untuk turut serta dengan menyumbang koleksi pantun dalam usaha bersama-sama memartabatkan seni warisan ini.

“Begitu juga orang lama, hantar koleksi pantun mereka, kita himpunkan dalam pangkalan data ini,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri Bagi Bulan Ogos 2023 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Fairul Nizam Roslan; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, VP Shanmugam;Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem dan lain-lain barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Terdahulu dalam ucapannya Ab Rauf, mahu lebih banyak pesta pantun dianjurkan termasuk di peringkat sekolah dan kampung.

Malah katanya koleksi pantun terbaik akan diambil dan dipamerkan pada pintu gerbang di setiap pintu masuk ke Melaka bagi menambah elemen kebudayaan serta warisan di negeri ini.

“Ia juga supaya untuk meraikan karya-karya yang dihasilkan oleh anak-anak Melaka dan apabila mereka melihat pantun ini dipamerkan secara tidak langsung ini akan menambahkan lagi minat untuk terus berkarya.

“Kita minta Pejabat Daerah dan agensi lain untuk menganjurkan lebih banyak pertandingan dengan pelbagai pecahan pantun klasik, pantun nasihat, pantun perang, pantun lokasi, pantun kepahlawanan dan pelbagai lagi.

“Perkara ini perlu dilaksanakan, memartabatkan pantun ini akan membuatkan ramai orang khususnya pelancong terpikat dan terpesona dengan budaya serta seni Melaka selain daripada pembangunan yang ada,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

970
Kongsi :
Previous post Penjawat awam Melaka terima Bantuan Khas Penghargaan RM300 – KM
Next post TNB sumbang RM25,000 kepada Yayasan Toh Puan Zurina
Ubah saiz-+=