
MARKAS ‘JOB SCAM’ DISERBU, LIMA LELAKI DITAHAN
AYER KEROH 28 April – Polis Melaka menyerbu sebuah unit kondominium di Ayer Keroh, di sini, kerana disyaki dijadikan markas pusat panggilan penipuan tawaran pekerjaan dalam talian atau ‘job scam’ Rabu lalu.
Ketua Polis negeri, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, dalam serbuan pada 7.20 malam itu, seramai lima lelaki warga tempatan berusia antara 21 hingga 32 tahun turut ditahan.
Katanya, pihaknya turut merampas lima set komputer, lima (5) adapter komputer riba, 5 tetikus, 5 papan kekunci, router wifi dan 64 telefon bimbit susulan serbuan berkenaan.
“Siasatan lanjut mendapati kesemua suspek dipercayai menjalankan kegiatan itu sejak empat bulan lalu dan mereka berperanan sebagai pegawai khidmat pelanggan yang menggunakan platform media sosial untuk mencari mangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata mangsa diperdaya dengan menawarkan bayaran gaji bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000 untuk melakukan pekerjaan sambilan secara dalam talian melalui laman web kripto Deribittrad https://deribitict.top/index.
“Mangsa dijanjikan komisen sebanyak 10 peratus bagi setiap pelaburan kripto dan setakat ini kami menerima 14 laporan yang bukan sahaja dari sekitar Melaka tetapi ada juga dari Perak, Kedah, Selangor, Pahang dan Pulau Pinang.
“Jumlah kerugian yang melibatkan kesemua mangsa dianggarkan berjumlah RM1.82 juta,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, di sini, hari ini.
Dzulkhairi berkata semakan turut mendapati seorang daripada suspek mempunyai dua rekod lampau membabitkan jenayah dan dadah.
“Semua suspek direman lima hari bermula Rabu hingga hari ini bagi membantu siasatan lanjut mengikut 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.