Maritim P Pinang tahan dua bot nelayan langgar syarat lesen
GEORGE TOWN, 20 Mei – Agensi Penguatkuasan Maritim Malaysia (Maritim) Pulau Pinang menahan dua bot nelayan tempatan kerana melanggar syarat sah lesen dengan memukat di kawasan tidak dibenarkan di perairan Pulau Pinang pada Khamis dan Rabu lepas.
Pengarahnya Kapten Maritim Abd Razak Mohamed berkata anggota yang sedang menjalankan rondaan Op Pertiwi/Op Benteng mengesan bot nelayan itu yang bergerak dalam keadaan gelap dan disyaki sedang beroperasi menangkap ikan menggunakan pukat tunda.
“Dalam rondaan pada Rabu, kami menahan sebuah bot sedang menangkap ikan menggunakan bot pukat tunda di kedudukan 4.6 batu nautika barat Kuala Sungai Pinang pada 10.55 malam dan pemeriksaan mendapati bot nelayan tempatan kelas C berpangkalan di Batu Maung itu telah melanggar syarat lesen.
“Bot dikendalikan seorang tekong tempatan berusia 51 tahun bersama tiga nelayan warga Indonesia berumur 44 hingga 52 tahun yang memiliki dokumen permaustatin tetap dikesan melakukan kesalahan menangkap ikan di kawasan tidak dibenarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya bot dan tekong serta tiga kru ditahan untuk siasatan lanjut manakala pelbagai hasil laut sebanyak 100 kilogram disita.
Abd Razak berkata dalam rondaan semalam, pihaknya menahan sebuah bot nelayan kelas B1 yang disyaki melanggar syarat sah lesen kerana menangkap ikan di kawasan tidak dibenarkan iaitu di kedudukan 5.6 batu nautika tenggara Pulau Kendi, dekat sini pada 10.30 malam.
Katanya hasil pemeriksaan mendapati, bot nelayan tempatan kelas B1 berpangkalan di Teluk Bahang dikendalikan seorang tekong bersama tiga kru warga tempatan berumur 45 tahun hingga 53 tahun dan seorang kru warga Thailand berusia 60 tahun yang memiliki dokumen permaustatin tetap.
”Bot bersama tekong dan peralatan menangkap ikan serta pelbagai jenis ikan seberat 100 kilogram disita dan dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk tindakan lanjut,” katanya
Beliau berkata kedua-dua kes itu disiasat menurut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 dan pihaknya memberi amaran kepada pemilik bot nelayan tempatan agar mematuhi syarat sah lesen dengan hanya menangkap ikan di kawasan yang dibenarkan.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.