Sorting by

×

MARITIM MALAYSIA TINGKATKAN OPERASI DI SELAT MELAKA MENJELANG AIDILFITRI

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

AYER KEROH 25 Mac – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mempertingkatkan penguatkuasaan sepanjang perairan negara khususnya di kawasan panas sudah dikenal pasti dari Kuala Sepang hingga Dumai, Indonesia menjelang musim perayaan Aidilfitri.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Malaysia Melaka dan Negeri Sembilan, Komander Maritim Norrimi Hassan berkata, pemantauan dilaksanakan dengan kehadiran sekurang-kurangnya 20 anggota dalam tempoh 24 jam, tujuh hari seminggu.

“Kawalan di titik panas perairan dijalankan secara berterusan kerana bukan hanya melibatkan kemasukan pendatang tanpa izin tetapi juga penyeludupan barangan asas antaranya minyak masak, gula dan beras.

“Meskipun dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini belum ada sebarang kes atau aktiviti jenayah direkodkan, namun kami tidak boleh leka malah perlu sentiasa bersiap siaga bagi menjaga perairan negara daripada sebarang ancaman maritim,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan rondaan Op Khas Pagar Laut di sempadan perairan negara dan Indonesia, semalam.

Menurut Norrimi, pada Op Pagar Laut sempena perayaan Aidilfitri ini, kira-kira 60 peratus anggota Maritim Malaysia Melaka dan Negeri Sembilan bertugas sepanjang empat minggu operasi dijalankan.

“Operasi ini membabitkan empat fasa iaitu pertama pengumpulan maklumat dan siap siaga aset, fasa kedua penguatkuasaan sebelum perayaan, fasa ketiga penguatkuasaan selepas raya kemudian disusuli fasa keempat iaitu pemantauan dan pos exercise debrief (PXD).

Jelasnya, sepanjang tahun lepas pihaknya telah melaksanakan sebanyak 3,228 pemeriksaan visual dengan 20 tangkapan kes, manakala di bawah Op Pagar Laut 2024 pula sebanyak 394 pemeriksaan telah dijalankan dengan dua kapal tanker ditahan mengikut Akta Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu berlabuh tanpa kebenaran serta melakukan aktiviti kapal ke kapal (STS).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

431
Kongsi :
Previous post JUALAN MANTAI AIDILFITRI MEGA DI DUYONG
Next post SUMBANGAN RAYA UNTUK WARGA JABATAN KETUA MENTERI MELAKA