Sorting by

×

MARI BERSAMA REALISASIKAN PEMBINAAN PENTAS SK PAYA RUMPUT

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

PAYA RUMPUT 16 Disember – Warga Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Rumput amat berharap usaha menaik taraf dewan terbuka sekolah itu yang dilengkapi pentas dan fasiliti asas lain dapat direalisasikan tidak lama lagi.

Guru Besar SK Paya Rumput Rozahiran Hamzah berkata, sebagai sekolah kluster kecemerlangan Negeri Melaka, sekolah tersebut sering menjadi lokasi penganjuran pelbagai program di peringkat daerah dan negeri.

Disebabkan itu, jelasnya, pihak sekolah terpaksa menyewa pentas dan peralatan lain, namun begitu, ia juga dilihat masih tidak dapat memberi keselesaan kepada 1,373 murid di sekolah tersebut.

Beliau bagaimanapun bersyukur, atas keprihatinan dan sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput Datuk Rais Yasin yang juga Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG) SK Paya Rumput, hasrat itu hampir direalisasikan apabila Majlis Makan Malam Amal Sejuta Kenangan yang diilhamkan pemimpin kawasan itu mendapat kutipan dana melebihi RM71,000.

“Alhamdulillah, menerusi majlis makan malam amal ini, kita dapat kutipan dana yang cukup besar daripada penyumbang-penyumbang dan kita akan meneruskan hebahan kutipan dana ini untuk mencapai jumlah yang mencukupi bagi pembinaan pentas di dewan terbuka sekolah ini.

“Sumbangan masih dibuka kerana kita bukan bukan hanya mahu membina pentas yang dilengkapi bilik audio dan bilik salinan, tetapi juga kemudahan skrin LED dan kipas untuk keselesaan murid.

“Saya percaya dengan adanya pentas dan kelengkapan lain ini, kita dapat melaksana program dengan lebih baik, selain murid juga lebih selesa dan tidak perlu berdiri untuk menyaksikan program-program yang dianjurkan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Fb Img 1734275661327
KOD QR untuk menyumbang bagi merealisasikan projek naik taraf Dewan Terbuka SK Paya Rumput.

Terdahulu, Majlis Makan Malam Amal Sejuta Kenangan itu telah disempurnakan Rais yang juga Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri.

Makan malam amal yang disertai kira-kira 600 penyumbang termasuk ibu bapa dan alumni itu turut dihiburkan dengan persembahan istimewa daripada Datuk Hattan.

Untuk rekod, SK Paya Rumput kini mempunyai sebanyak 36 kelas untuk murid tahun 1 hingga 6, selain dua kelas pra sekolah dan enam kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) untuk murid berkeperluan khas.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

96
Kongsi :
Previous post DULU PENGIKUT, KINI MAMPU CIPTA KANDUNGAN DIGITAL SEHEBAT MHI
Next post MPHTJ TAWAR DISKAUN KOMPAUN HINGGA 70 PERATUS
Ubah saiz-+=