MARC lindung hak penulis, penerbit, artis seni visual
Bercakap pada Seminar Kebangsaan mengenai Pengurusan Hak Cipta dalam Pendidikan Malaysia, beliau berkata MARC mempunyai tanggungjawab untuk memantau dan menguatkuasakan hak serta mengumpul dan mengedarkan royalti kepada pemegang hak.
Organisasi itu akan ditugaskan untuk memantau penggunaan semula hasil karya cetak dan digital di seluruh Malaysia seperti di sekolah, universiti, perpustakaan dan pusat percetakan, dengan kerjasama entiti berkaitan seperti Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi, katanya.
“MARC, sebagai Organisasi Pengurusan Kolektif (CMO) akan bekerjasama dengan universiti tempatan untuk membangunkan sistem yang mudah dan cekap yang akan menentukan yuran lesen yang adil dan membantu dengan maklumat bagi membolehkan pengagihan yuran yang saksama kepada penulis dan penerbit,” katanya.
MARC juga katanya, akan melesenkan fotokopi dan mendapatkan bayaran untuk penulis, penerbit dan artis seni visual serta perjanjian lesen boleh menetapkan terma dan syarat bagi penyalinan dibenarkan yang dipersetujui dengan keizinan oleh pemegang hak.
MARC dianggotai oleh Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA), Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM), Persatuan Aktivis Komik Malaysia (PEKOMIK) dan Persatuan Buku Gambar Kanak-Kanak Malaysia (MYCPB).
Pada masa sama, Rosol berkata pemilik hak cipta digesa supaya mendaftarkan hasil karya mereka di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) menerusi Pemberitahuan Sukarela Hak Cipta kerana mereka boleh menggunakannya bagi membantu menyediakan bukti prima facie bagi pemilikan dan tarikh penciptaan.
Sementara itu, beliau berkata Malaysia sedang melakukan yang terbaik untuk memastikan amalan harta intelek (IP), undang-undang dan peraturan yang lebih baik di negara ini bagi mengekalkan persekitaran perniagaan yang menarik.
“Pengisytiharan MARC sebagai organisasi pengurusan kolektif akan memudahkan akses yang sah kepada maklumat dengan cara yang agak murah.
“Mereka juga merupakan pelindung kepada persekitaran yang sesuai untuk kreativiti dengan menyediakan imbuhan yang adil kepada pemegang hak dan insentif untuk penciptaan pada masa hadapan,” katanya.
Rosol berkata MyIPO juga akan menganjurkan pelbagai aktiviti kesedaran dan kempen secara meluas di seluruh negara untuk mendidik masyarakat mengenai hak cipta dan undang-undang, agar mereka menghargai keperluan untuk hak sedemikian dan boleh mematuhinya.
Malaysia melalui MyIPO terlibat secara aktif dalam isu hak cipta pada peringkat antarabangsa dan Akta Hak Cipta (Pindaan) 2022 berkuat kuasa pada 18 Mac lepas, yang mencerminkan usaha kerajaan bagi memastikan perlindungan yang lebih berkesan terhadap karya hak cipta dalam persekitaran digital, katanya.
Beliau berkata penyertaan Malaysia sebagai ahli dalam Perjanjian Marrakesh akan menyumbang kepada kemajuan sosioekonomi negara dengan memberikan pengecualian berhubung mendapatkan kebenaran daripada pemilik hak cipta untuk membuat dan mengedarkan bahan bacaan dalam salinan format yang boleh diakses untuk Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan.
Penyertaan Malaysia dalam perjanjian itu akan menyediakan akses yang lebih luas kepada kira-kira 51,323 OKU penglihatan yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat, kata Rosol.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.