Sorting by

×

Mara Mall: Jika SPRM mahu siasat, dipersilakan – KM

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat
KETUA Menteri, Datuk Haji Sulaiman Md. Ali (tiga kanan) ketika melawat Pasar Besar Masjid Tanah, di sini pagi tadi.

MASJID TANAH 6 Jun – Melaka mengalu-alukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan terhadap pembinaan pasar raya MARA Mall, seperti mana yang dicadangkan pembangkang negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Haji Sulaiman Md. Ali berkata, pihaknya mencadangkan agar SPRM menjalankan siasatan ke atas pembinaan bangunan berkenaan susulan pengoperasian yang tidak berjalan, biarpun siap dibina sepenuhnya hampir saban tahun.

“Jika mereka mahukan SPRM siasat perkara ini kita galakkan kerana saya pun ingin tahu apakah masalahnya dan apa kesalahan yang berlaku dengan pembinaan bangunan ini.

“Jika SPRM mahu siasat, dipersilakan, saya tunggu kerana ingin tahu apakah masalahnya yang berlaku terhadap pembinaan tersebut,’ tegasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Pasar Besar Masjid Tanah, di sini hari ini.

Hadir sama, Exco Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Wira Ismail Othman; Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Melaka, Norena Jaafar.

Dalam perkembangan lain, Sulaiman berkata, operasi mercu baharu Masjid Tanah itu bakal berjalan tidak lama lagi namun terpaksa ditangguhkan berikutan kekangan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang perlu dipatuhi akibat penularan wabak Covid-19.

Ujarnya, proses bagi pengoperasian pasar raya yang bakal dikenali sebagai Malakat Mall itu terpaksa ditangguhkan disebabkan ia membabitkan pelbagai proses pergerakan keluar masuk perlu dilaksanakan termasuk penyusunan barangan jualan serta pelbagai lagi.

“Setakat hari ini Malakat Mall ada usaha sama bersama Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) dan difahamkan ia terpaksa ditangguhkan berikutan isu penularan wabak tersebut.

“Jadi, ia akan beroperasi sebaik mungkin sejurus selesai dilema yang melanda negara ini malah banyak lagi perkara yang perlu dilaksanakan sebelum pasar raya berkenaan beroperasi sepenuhnya.

“Sebelum ini terdapat sebuah syarikat telah menyewa bangunan berkenaan selama tiga tahun dan dicadangkan akan beroperasi dengan menggunakan konsep jualan barangan dari Timur Tengah.

“Namun, disebabkan pertukaran kerajaan pada ketika itu mereka tidak lagi berminat untuk beroperasi dan menyebabkan ia seolah-olah terbiar.

“Malakat Mall yang bakal beroperasi tidak lama lagi tidak lagi menggunakan konsep jualan barangan daripada Timur Tengah, namun ia mungkin akan beroperasi berkonsepkan seperti pasar raya biasa,” katanya.

Views:

494
Kongsi :
Previous post PENJANA: Sektor pelancongan dijangka terima impak positif
Next post Melaka pertimbang hantar pulang pekerja asing
Ubah saiz-+=