MARA, KERAJAAN MELAKA BANTU BAIK PULIH RUMAH USANG MENANTI REBAH

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

KLEBANG 27 Oktober – Rumah usang yang hanya menanti rebah didiami 10 sekeluarga di Kampung Tengah, Bukit Rambai, di sini, akan dibaik pulih dalam kadar segera.

Khabar gembira itu dimaklumkan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin ketika mengadakan lawatan bagi meninjau kerosakan di rumah terbabit, hari ini.

Menurut Rais, peruntukan baik pulih berjumlah RM20,000 itu disalurkan Majlis Amanah Rakyat (MARA) selepas beliau sendiri membuat panggilan video ke atas Pengerusi MARA Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Jelas beliau, kerja baik pulih itu dijangka selesai dalam tempoh dua bulan selepas proses penilaian kerosakan dan lantikan kontraktor selesai.

“Baik pulih ini membabitkan semua kerosakan yang ada dan kita akan melihat peruntukan yang diturunkan nanti. Jika tidak mencukupi, Kerajaan Negeri bersama Lembaga Perumahan Melaka (LPM) akan bersedia untuk membantu bagi memastikan keluarga ini kembali mendiami rumah yang selesa.

“Apa yang paling penting adalah kita berharap kerja baik pulih ini selesai dalam kadar segera sebelum hujung tahun atau selewat-lewatnya awal bulan depan,” katanya kepada pemberita.

Mengulas lanjut, Rais menepis kononnya Kerajaan Negeri terlepas pandang mengenai isu rumah berkenaan, sebaliknya beliau berkata ia memang sudah dalam tindakan pihak Japerun Klebang.

Menurut beliau, difahamkan isu rumah berkenaan telah bermula sejak enam bulan lalu, namun pemilik hanya melaporkan masalah berkenaan pada Julai, sebelum pemimpin kawasan mengambil tindakan untuk membuat permohonan baik pulih.

“Walaupun proses mengambil masa yang agak lama, namun kita bersyukur kerana akhirnya pihak MARA bersetuju untuk menanggung kos baik pulih dan mempercepatkan proses tersebut.

“Pada masa sama, keluarga ini juga merupakan penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Melaka dan akan pastikan segala bantuan untuk keluarga ini diselesaikan dengan baik.

“Saya juga berterima kasih kepada semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang turut sama membantu dan cakna terhadap isu rakyat yang berlaku di negeri ini,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan rumah didiami pesara tentera, Mazelan Harun, 67, dalam keadaan daif selepas hampir keseluruhan struktur bumbung rumahnya rosak akibat dibadai ribut selain dimamah anai-anai.

Kerosakan itu membabitkan bahagian ruang tamu, bilik tidur dan dapur dan kos untuk baik pulih keseluruhan kerosakan itu tidak dapat ditanggung keluarga berkenaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

269
Kongsi :
Previous post AKSI AKROBATIK, PAMERAN PESAWAT ATM TARIKAN KUAM 2024
Next post 10 WANITA WARGA INDONESIA DITAHAN DALAM OP NODA
Ubah saiz-+=