Sorting by

×

MAPIM salur 95 kotak makanan buat pekerja Zoo Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

Oleh Liana Sahabudin dan Nur Iliyana Zainis Zainal

AYER KEROH 5 OGOS – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menyalurkan 95 kotak bantuan makanan kepada pekerja Zoo Melaka sekali gus meringankan beban mereka.

Ketua Aktivis MAPIM Malaysia, Dr Sani Araby Al Kahery berkata, inisiatif itu untuk membantu pekerja di zoo berkenaan yang terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Dalam pasca pandemik COVID-19 ini pelbagai sektor di seluruh Malaysia didapati terjejas. Ada yang menutup sementara perniagaan dan ada yang terpaksa menggulung tikar akibat tidak mampu menanggung kerugian.

“Perkara ini turut dialami warga Zoo Melaka yang mana sudah hampir setahun zoo ini sepi tanpa pengunjung dan memberi kesan kepada pekerja.

“Jadi pihak kami datang untuk salurkan bantuan sebanyak 95 kotak makanan asas buat mereka ini,” katanya.

ZIZAN turut memberi makan kepada gajah di Zoo Melaka.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Santuni Penarik Beca dan Petugas serta Haiwan di Zoo Melaka, hari ini.

Jelasnya, selain itu MAPIM juga memberikan 100 kilogram serbuk kunyit bagi tujuan ubatan kulit dan buah-buahan kepada tiga ekor gajah yang dikenali sebagai Lily (10) Mala (18) dan Hani berusia 44 tahun.

“Kira-kira lima tan makanan disalurkan di Zoo Melaka dan sudah pasti dapat membantu nasib lebih 600 haiwan di sini.

“Sumbangan keseluruhan dianggarkan bernilai RM30,000, diharap ia mampu menampung kos kebajikan dan rawatan buat haiwan-haiwan di sini yang semakin berkurangan.

“Dianggarkan kos hidupan liar di zoo bernilai kira-kira RM450,000 sebulan, manakala kos operasi secara kesuluruhan sebanyak RM750,000,” katanya lagi.

PETUGAS MAPIM mengangkat barangan sumbangan untuk Zoo Melaka.

Pada masa sama MAPIM turut menyalurkan bantuan sebanyak 100 kotak makanan asas buat pengayuh beca di negeri ini.

“Program ini mendapat kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka bagi memperluaskan lagi sayap penyerahan bantuan,” katanya.

Hadir sama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datuk Shadan Othman; Setiausaha Agung MAPIM, Mejar Bersekutu (PA) Zulhanis Zainol dan Bendahari MAPIM, Kapten Faris Hussain.

Tidak ketinggalan program turut diserikan dengan kehadiran penceramah terkenal Prof. Madya Datuk Dr. Mohd Izhar Ariff dan selebriti terkemuka, Zizan Razak.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1018
Kongsi :
Previous post Pelanggan sanggup tunggu Rumakici operasi semula
Next post ‘Kalau tahu pun, saya pilih untuk tutup aib’
Ubah saiz-+=