MAPEX Melaka 2024 tawar 4,380 hartanah serendah RM70,000

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

KESIDANG 12 Julai – Pameran Ekspo Hartanah Malaysia (MAPEX) Melaka edisi pertama 2024 bakal menawarkan 4,380 unit hartanah pelbagai jenis serendah RM70,000 hingga RM1.9 juta.

Ekspo anjuran Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Melaka itu akan berlangsung selama enam hari pada 23 hingga 28 Julai ini bertempat di Pusat Beli Belah Aeon Bandaraya Melaka.

Pengerusi Penganjur MAPEX Melaka 2024 Datuk Tay Chor Han berkata, ekspo berkenaan disertai 24 pemaju perumahan membabitkan 49 projek pembangunan pelbagai jenis dengan nilai keseluruhan RM1.87 bilion.

Katanya, sebanyak 2,097 unit hartanah ditawarkan di daerah Melaka Tengah, diikuti 1,771 unit di daerah Jasin, 488 unit di daerah Alor Gajah dan 24 unit di Ayer Hitam Johor pada ekspo berkenaan.

“Antara hartanah yang paling banyak ditawarkan adalah rumah teres dua tingkat iaitu sebanyak 1,559 unit, diikuti kondominium, apartment, service apartment dan pangsapuri sebanyak 1,442 unit serta lain-lain hartanah seperti kluster, townhouse, kedai, pejabat kedai dan industri sebanyak 698 unit.

“Selain itu, sebanyak 444 unit rumah teres setingkat, rumah semi-D (218 unit) dan 39 unit banglo turut ditawarkan.

“Malah, menerusi ekspo ini juga, pembeli rumah pertama layak mendapat pengecualian duti setem dengan penjimatan sehingga RM11,250 bagi rumah berharga bawah RM500,000,” katanya pada sidang media MAPEX Melaka di Pejabat REHDA, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi REHDA Melaka Datuk Ngoh Chun How, kepimpinan tertinggi REHDA Melaka serta wakil pemaju perumahan.

Menurut Chor Han, ekspo berkenaan diadakan setiap tahun bagi menyahut saranan Kerajaan Negeri Melaka yang menggalakkan rakyat memiliki kediaman sendiri selain membantu bakal pembeli mendapatkan rumah idaman.

Tambahnya, ia dijangka akan dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada 26 Julai ini.

“Ekspo ini juga berkonsepkan mesra keluarga kerana terdapat pelbagai aktiviti disediakan seperti persembahan alat muzik, karikatur, pertunjukan badut dan lain-lain lagi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2614
Kongsi :
Previous post Mayat lelaki ditemukan terapung di perairan Tanjung Tuan
Next post Bapa Baby Syifaa didakwa salah guna wang RM67,000
Ubah saiz-+=