
MAPEX 2025 TAWAR RUMAH SERENDAH RM99,000 UNTUK ORANG MELAKA
AYER KEROH 17 April – Pelbagai jenis rumah dan hartanah pada harga serendah RM99,000 ditawarkan di Ekspo Perumahan dan Hartanah Malaysia (MAPEX) Melaka 2025 yang sedang berlangsung hingga 20 April ini.
Ekspo anjuran Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Melaka itu berlangsung selama 13 hari bertempat di Aeon Ayer Keroh, di sini.
Pengerusi Penganjur MAPEX Melaka 2025 Datuk Sonny Tay Chor Han berkata, sebanyak 3,425 unit hartanah pelbagai jenis membabitkan 44 buah projek daripada 12 pemaju yang mengambil bahagian.
Katanya, antara yang ditawarkan adalah 2,000 unit hartanah di daerah Melaka Tengah, diikuti 1,108 unit di daerah Jasin, 298 unit di daerah Alor Gajah dan 19 unit di Hulu Langat, Selanngor pada ekspo berkenaan.
“Antara hartanah yang paling banyak ditawarkan adalah rumah teres dua tingkat iaitu sebanyak 934 unit, diikuti kondominium, apartment, service apartment dan pangsapuri sebanyak 779 unit serta rumah teres setingkat sebanyak 772 unit.
“Selain itu 367 unit rumah kluster dan townhouse turut ditawarkan, selain 281 unit lot kedai, pejabat dan industri turut ditawarkan.
“Sebanyak 16 reruai dibuka membabitkan 12 pemaju bagi membantu orang ramai khususnya rakyat Melaka melihat dan memilih rumah impian mereka.
“Seperti kebiasaan MAPEX ini dianjurkan sebagai platform ‘one stop centre’ untuk memudahkan pembeli atau rakyat Melaka membuat perbandingan hartanah yang terdapat di negeri ini bagi membantu mereka membuat keputusan,” katanya kepada Melaka Hari Ini pada Sesi Networking Luncheon Of Mini MAPEX 2025 di Aeon Ayer Keroh, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi REHDA Melaka Datuk Ngoh Chun How dan kepimpinan tertinggi REHDA Melaka.

Menurut Chor Han, ekspo berkenaan diadakan setiap tahun bagi menyahut saranan Kerajaan Negeri yang menggalakkan rakyat memiliki kediaman sendiri selain membantu bakal pembeli mendapatkan rumah idaman.
Jelas beliau, keprihatinan Kerajaan Negeri dalam menyediakan dasar pembangunan bercampur meliputi rumah kos rendah, rumah sederhana rendah dan rumah mampu milik bagi setiap projek berkeluasan lebih 10 ekar juga adalah disambut baik.
“Ia sekali gus dapat membantu golongan berpendapatan rendah atau B40 untuk turut memiliki peluang membeli rumah sendiri.
“Tambahan lagi, Melaka juga kekal menjadi negeri dengan harga rumah terendah iaitu pada kadar purata sekitar RM238,000 menurut Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC),” katanya.
Menurutnya lagi, selain pameran perumahan, ekspo berkenaan juga diwarnai dengan pelbagai aktiviti untuk seisi keluarga antaranya pertunjukan karikatur, badut, pertandingan mewarna dan pelbagai lagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.