MAPEX 2024 tawar lebih 5,000 unit rumah
BANDARAYA MELAKA 27 Julai – Lebih 5,000 unit rumah ditawarkan pada Ekspo Perumahan & Hartanah Melaka (MAPEX) 2024 bermula 23 Julai hingga esok.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, ekspo berkenaan menawarkan kediaman dengan harga serendah RM162,000.
“Kerajaan Negeri melalui dasar perumahan Negeri Melaka sentiasa memastikan rakyat di negeri ini boleh memiliki rumah dengan harga mampu milik.
“Pemaju perlu mengikut kuota diberikan Kerajaan Negeri iaitu 10 peratus harga rumah bernilai RM70,000, 10 peratus dengan harga RM120,000.
“Selain 15 peratus harga rumah bernilai RM180,000, 15 peratus lagi harga rumah RM250,000 dan selebihnya adalah harga bebas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian MAPEX 2024 di Aeon Bandaraya Melaka, di sini, semalam.
Hadir sama Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka (LPM), Datuk TPr. Murad Husin; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman; Pengerusi Penganjur Mapex, Datuk Sonny Tay Chor Han dan Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) Melaka, Datuk Ngoh Chun How.
Rais berkata, pelaksanaan dasar itu membuatkan Melaka menjadi negeri yang menawarkan rumah pada harga termurah.
“Kita juga melihat daripada 24 pemaju terlibat pada ekspo ini, sebanyak 22 pemaju adalah dari Melaka sendiri.
“Ini terbukti kita mempunyai pemaju tempatan yang mampu menyiapkan projek perumahan dengan baik.
“Malah di Melaka hanya sebanyak 532 unit rumah yang tidak terjual setakat ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.