MAPEX 2022 realisasi impian miliki rumah
BANDARAYA MELAKA 22 Julai – Ekspo Perumahan dan Hartanah Melaka (MAPEX) 2022 menawarkan sebanyak 1,611 unit hartanah dengan nilai keseluruhan melebihi RM692 juta bermula 19 sehingga 24 Julai ini.
Pengerusi Penganjur MAPEX 2022, Datuk Ngoh Chun How berkata, menerusi pameran ini membawa 20 pemaju terkemuka termasuk Projek Perumahan 1Malaysia (PR1MA) selain institusi perbankan, Bank Islam.
Katanya, penganjuran pameran ini antara tujuannya menyediakan platform bagi pemaju perumahan mempromosi pelbagai hartanah dan merealisasikan impian rakyat memiliki rumah idaman masing-masing.
“Rebutlah peluang membeli hartanah baru yang masih dijual dengan harga lama sebelum peningkatan harga bahan binaan memandangkan hampir 88.21 peratus hartanah ditawarkan di ekspo ini adalah hartanah dalam pembinaan di Melaka.
“Penduduk Melaka yang belum memiliki rumah digalakkan mengambil peluang ini membeli rumah pertama agar dapat menikmati penjimatan sehingga RM14,500 menerusi pengecualian duti setem dibawah insentif kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ekspo Perumahan dan Hartanah Melaka (MAPEX) 2022 yang dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali di Pusat Beli-belah Aeon Bandaraya di sini, hari ini.
Hadir sama EXCO Hal Ehwal Pengguna, Ngwe Hee Sem; Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka (LPM), Mohd Salleh Hamidom dan Pengerusi REHDA Melaka, Datuk Ng Choon Koon.
Mengulas lanjut, Chun How berkata Rehda menyambut baik pengecualian duti setem 100 peratus bagi pemilikan rumah pertama berharga RM500,000 ke bawah dan sebanyak 50 peratus bagi rumah melebihi RM500,000 sehingga RM1 juta.
“Inisiatif Pemilikan Perumahan Keluarga Malaysia (i-Miliki) ini telah bermula pada 1 Jun lalu sehingga 31 Dis 2023 sekali gus membantu meringankan beban penduduk Melaka yang belum memiliki rumah,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.